SUNGAI PETANI: Adik kepada Ketua Ameerah PAS Sungai Petani, Nor Fatihah Nabilah Bukri, 23, yang maut dalam nahas di Kilometer 390 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Behrang semalam menyifatkan kakak sulungnya itu sangat bertanggungjawab dan suka menggembirakan ahli keluarga.
Muhamad Sufi Hanif Bukri, 22, berkata, pemergian Nor Fatihah sangat dirasai kerana arwah banyak membantu dan menyokong pengajiannya dalam bidang Kerja Sosial di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) di Terengganu.
“Kakak tak pernah berkira dengan kami, separuh daripada gajinya dibelanjakan untuk adik-adiknya.
“Pagi Jumaat semalam saya dan kakak ada berhubung dan dia masukkan duit sumbangan Mak Lang (ibu saudara) ke akaun bank untuk kerja sosial saya di Vietnam nanti.
“Kakak seorang yang sangat baik walaupun gajinya hanya RM1,300 sebulan sebagai guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), dia tak pernah berkira, dia akan lakukan apa saja untuk gembirakan kami adik-beradik.
“Baru-baru ini dia ada belikan saya t-shirt anime yang saya suka, ke mana saja pergi dia pasti akan ingat membeli sesuatu untuk kami,” katanya sebak ketika ditemui di pekarangan surau Taman Sri Jenaris, Tikam Batu di sini selepas selesai solat jenazah.
Selain Nor Fatihah, turut terkorban Ketua Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, dan Penolong Setiausaha Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27.
Terdahulu, suasana sedih menyelubungi pekarangan surau itu apabila bapa Allahyarham, Bukri Khalid, 52, sebak ketika membacakan doa mengimamkan solat jenazah anak sulung daripada lima beradik itu.
Kira-kira 200 jemaah menunaikan solat jenazah Nor Fatihah jam 9.50 pagi tadi sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Berangan di sini pada jam 10 pagi.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 11 pagi tadi.
Sementara itu, rakan sekerja Allahyarham, Rozita Man, 52, menyifatkan Nor Fatihah seorang yang baik dan penuh bersemangat dalam melakukan kerja kebajikan.