
KUALA LUMPUR: Kakak pemandu kereta Honda Jazz yang terbabit dalam kemalangan maut di Senawang, Negeri Sembilan Khamis lalu, tampil memohon maaf kepada keluarga mangsa dan rakyat Malaysia atas kenyataannya berhubung insiden itu.
Menerusi satu hantaran di media sosial, wanita dikenali Nur Athirah Najwa itu mengakui kesilapannya dalam mengeluarkan hantaran yang menyinggung perasaan serta mengundang kemarahan orang ramai.
“Assalamualaikum, saya Nur Athirah Najwa, kakak kepada pelaku yang terbabit dalam kemalangan di Senawang.
“Saya ingin memohon maaf kepada pihak keluarga mangsa dan semua rakyat Malaysia atas ‘posting’ (hantaran) dan komen yang keterlaluan sehingga membuat semua marah.
“Saya sedar saya muat naik ‘posting’ dan komen itu dalam keadaan yang emosi. Saya betul-betul minta maaf dan saya menyesal,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial tangkap layar beberapa kenyataan dimuat naik Nur Athirah yang seolah mempertahankan adiknya susulan insiden berkenaan.
Tindakannya itu mencetuskan kemarahan netizen yang mengecam pemandu Honda Jazz terbabit kerana memandu secara berbahaya sehingga meragut nyawa dua individu.
Media sebelum ini melaporkan dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta Honda Jazz di Jalan Persiaran Senawang 1 berhampiran persimpangan lampu isyarat Matahari Height, Negeri Sembilan, Khamis lalu, (6 Mac).
Dalam kejadian 8.30 malam itu, penunggang dan pembonceng Modenas Kriss disahkan maut di lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu remaja lelaki itu bersama seorang penumpang dari arah Senawang menuju ke Paroi gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah dan melanggar motosikal Modenas Kriss dinaiki kedua-dua mangsa serta sebuah lagi motosikal Honda Vario.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kemalangan untuk tampil membantu siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.