Tumpuan :
Nasional

Kakak jumpa adik OKU meninggal dunia dalam bilik sewa 

SUNGAI PETANI: Wanita orang kurang upaya (OKU) ditemukan meninggal dunia dalam sebuah bilik sewa di sebuah rumah dua tingkat di Bandar Puteri Jaya di sini, semalam.

Mangsa yang berusia 29 tahun itu dipercayai tinggal di bilik sewa berkenaan bersama kakaknya yang berusia 36 tahun sejak Disember tahun lalu.

Namun kejadian itu disedari kakaknya yang baru pulang dari tempat kerja sebelum mendapati adiknya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Mangsa yang mengalami masalah pembelajaran bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, berikutan itu, polis menahan seorang suspek dan direman selama lima hari bagi membantu siasatan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk proses bedah siasat.

“Setakat ini kes terbabit masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

Loading...
Terkini