comscore
Tumpuan :
Nasional

Kakak harap keajaiban Haqim ditemukan pasukan penyelamat

Haqim (gambar kecil) yang hilang dihanyutkan ombak di Pantai Batu Layar, Punggai di Bandar Penawar, Johor.-Foto ihsan Bomba dan keluarga

KOTA TINGGI: “Semoga ada keajaiban buat Haqim walaupun kami sedar risiko ditelan ombak di kawasan ini. Masih hidup atau tidak, harapan kami adalah pasukan penyelamat mampu menemukannya.”

Itu harapan seorang kakak, Nur Diana Abdul Rahim Lee, selepas adiknya Haqim Abdul Rahim Lee hilang dipukul ombak di Pantai Batu Layar, Punggai di Bandar Penawar.

Katanya, dia menerima panggilan daripada ibunya yang tinggal di Kempas pada 10.30 pagi hari ini, memaklumkan kejadian menimpa anak bongsu daripada tujuh beradik yang bekerja di kedai menjual peralatan sukan itu

Menurutnya, dia yang tinggal di Taman Bayu Damai di Pengerang segera ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat berkaitan Haqim yang tinggal bersama ibu mereka.

“Ibu memaklumkan dia pergi berkelah di Batu Layar bersama rakan-rakannya. Ibu memang menasihatinya supaya tidak mandi di pantai, kebiasaannya dia memang menurut kata ibu.

“Kami difahamkan keempat-empat mereka, termasuk adik ditelan ombak. Adik serta seorang rakan dihanyut ke kawasan lebih jauh. Jenazah rakannya sudah ditemukan, namun nasib Haqim belum diketahui.

“Hari ini genap 41 hari bapa meninggal dunia akibat sakit tua, tak sangka adik bongsu pula ditimpa kejadian tidak diingini,” kata Nur Diana.

Anak sulung itu berkata, Haqim rajin berkongsi aktivitinya di kumpulan WhatsApp keluarga termasuk menganjurkan bacaan tahlil di surau bagi arwah bapa mereka, Abdul Rahim Lee Abdullah yang meninggal dunia pada usia 70 tahun.

Nur Diana sebelum ini pernah menjadi tumpuan media apabila salah seorang adiknya, Rozzana pernah koma di Hospital Myongji, Korea Selatan sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 24 November 2021.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini