Tumpuan :
Nasional

Kakak Bella ditahan polis kerana isu ‘live’ di Tiktok

 

Foto: NSTP

BATU PAHAT: Kakak kepada Bella atau Mila Sharmila Samsusah yang mati dibunuh teman lelakinya, ditahan polis awal pagi tadi, sebelum direman bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat terhadapnya kerana didakwa melanggar Akta Kanak-Kanak 2001.

Wanita berusia berusia 37 tahun ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk merekodkan keterangan berhubung satu laporan polis dibuat terhadapnya.

Difahamkan, laporan itu dibuat oleh keluarga tertuduh kononnya mendakwa kakak kepada Bella itu menyiarkan gambar kanak-kanak yang dipercayai anak angkat tertuduh, ketika bersiaran langsung di TikTok, baru-baru ini.

Dia kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pagi ini, sambil ditemani dua peguamnya, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan.

Majistret Nurasidah A Rahman membenarkan wanita itu direman sehari bermula hari ini bagi membantu siasatan polis.

Sejurus selepas keluar dari mahkamah, wanita itu kelihatan tenang sambil memandang beberapa ahli keluarganya termasuk suaminya.

Pada awalnya, dia baru tiba di Batu Pahat, selepas berbuka puasa di rumah saudara arwah bapanya di Kuala Selangor, pada jam 2.30 pagi.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang, dia dihubungi polis untuk hadir ke IPD bagi merekodkan keterangan, sebelum ditahan di lokap.

Dalam pada itu, peguam, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan yang hadir ketika prosiding reman berkata, anak guamnya direman sehari selepas mahkamah menolak permohonan pegawai penyiasat untuk reman tiga hari.

Katanya, anak guamnya disiasat mengikut Seksyen 15 (2) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana dakwaan mengatakan gambar digunakan anak guam terbabit dengan jenayah.

“Sebaliknya, anak guam kami langsung tidak mendedahkan muka seperti mana didakwa dalam laporan dibuat sebelum ini.

“Ketika proses permohonan reman, kami mengemukakan beberapa sebab kenapa anak guam tidak boleh direman terlalu lama. Kalau nak tahan reman, mesti ada sebab tetapi alasan dikemukakan pegawai penyiasat tidak membawa kepada sebab munasabah.

“Sebab itu mahkamah benarkan permohonan reman sehari terhadap anak guam kami,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini