Tumpuan :
Nasional

Kajian semula perundangan e-dagang: KPDN dapatkan khidmat UNCTAD

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuhkan kerjasama dengan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) dalam kajian perundangan berkaitan e-dagang yang sedang dibuat.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, hasrat itu dikemukakan kepada badan dunia itu setelah mengambil kira kepakaran dan pengalaman yang dimilikinya.

“Dalam pertemuan ini, UNCTAD telah memberikan persetujuan secara prinsip.

“UNCTAD menyatakan bahawa usaha ini sejajar dengan fokusnya untuk membantu negara-negara membangun bagi mendapat manfaat melalui pengintegrasian kepada sistem perdagangan antarabangsa, meningkatkan akses kepada teknologi digital dan sekali gus melindungi pengguna daripada eksploitasi,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Pertemuan dua hala yang diadakan di Geneva, Switzerland itu dihadiri Setiausaha Agung UNCTAD, Rebeca Grynspan dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UN) di Geneva, Datuk Nadzirah Osman.

Armizan berkata dengan perkembangan pesat industri e-dagang, KPDN kini sedang melaksanakan kajian semula perundangan e-dagang bagi mengemas kini perundangan sedia ada.

Ia termasuk Akta Perdagangan Elektronik 2006, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2012 selaras dengan perkembangan pesat industri e-dagang.

Kajian Semakan Semula Perundangan E-Dagang yang dilaksanakan melalui peruntukan di bawah Rolling Plan Ke-4 Rancangan Malaysia Ke-12 (RP-4 RMK-12) ini telah bermula pada April lalu dan dijangka selesai pada Mac tahun hadapan.

Melalui kerjasama itu, KPDN berharap ia dapat membantu usaha kementerian untuk melaksanakan kajian perundangan baru e-dagang dengan lebih berkesan melalui perkongsian kepakaran dan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.

“Sebagaimana trend global, industri e-dagang di Malaysia adalah merupakan antara sektor yang sedang pesat berkembang.

“Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, nilai pendapatan daripada industri e-dagang di Malaysia pada tahun 2022 telah meningkat sebanyak 6 peratus kepada RM1.09 trilion berbanding RM1.03 trilion pada tahun 2021,” katanya.

KPDN akan terus komited bagi memastikan pembangunan ekonomi domestik yang seimbang termasuk melindungi kepentingan pengguna
dan pada masa yang sama memastikan industri e-dagang akan dapat terus berkembang dengan pesat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini