comscore
Tumpuan :
Nasional

“Kajian semula kerelevanan undang-undang berkaitan 3R bagi selaras dengan perkembangan semasa,” – Azalina

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Undang-undang sedia ada bagi menangani kes-kes berhubung provokasi agama, bangsa dan Institusi Raja-Raja (3R) perlu dikaji semula kerana sudah digubal tujuh dekad yang lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata dalam mengkaji semula undang-undang itu, Kerajaan Perpaduan tetap menyokong hak kebebasan bersuara sebagai hak rakyat seperti mana yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, hak kebebasan bersuara itu selaras dengan Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang mengambil kira bahawa hak kebebasan bersuara haruslah dimanfaatkan secara bertanggungjawab.

“Walaupun terdapat undang-undang yang sedia ada bagi menangani isu tersebut termasuk Akta Hasutan 1948 [Akta 15], Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301], Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] dan Kanun Keseksaan [Akta 574], ada yang digubal tujuh dekad yang lalu.

“Oleh itu, kerajaan berhasrat untuk mengkaji semula kerelevanan undang-undang yang sedia ada bagi memastikan perundangan selaras dengan perkembangan semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, kerajaan juga peka terhadap cabaran yang dihadapi oleh pelbagai pihak penguatkuasa dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

Katanya, cabaran yang dihadapi oleh agensi-agensi penguatkuasaan, seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) antara lain, adalah penyebaran maklumat yang pantas melalui penggunaan teknologi canggih, akaun dalam talian palsu atau digodam, kerahsiaan nama yang tidak dapat dikesan serta teknologi kecerdasan buatan yang menyukarkan proses siasatan dan pendakwaan.

“Sehubungan itu, satu sesi libat urus yang terdiri daripada perbincangan kumpulan fokus dan juga Dialog Perundangan 3R Mengenai Isu Provokasi Membabitkan Agama, Bangsa dan Institusi Raja-Raja (3R) di Malaysia diadakan pada hari ini di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

“Ia dihadiri oleh lebih 50 wakil daripada pihak kerajaan dan bukan kerajaan, termasuk Kementerian Perpaduan dan Kementerian dalam Negeri, PDRM, SKMM, Badan-Badan Peguam, Pertubuhan Masyarakat Madani (CSO), Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), ahli-ahli akademik dan organisasi-organisasi agama,” katanya.

Tambahnya, tiga persoalan utama yang dikemukakan kepada peserta sesi libat urus adalah sama ada Malaysia memerlukan pemansuhan perundangan sedia ada dan penggubalan akta baharu, pindan perundangan atau tiada pindaan perundangan (status quo).

Azalina, berkata pihaknya akan terus membabitkan semua pihak berkepentingan dalam mempertimbangkan hala tuju dasar dan perundangan yang holistik untuk dijadikan panduan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Ia bagi menangani isu provokasi membabitkan 3R dan pada masa yang sama menggalakkan toleransi, keharmonian dan perpaduan.

“Di samping itu, hasil dari Perbincangan Kumpulan Fokus dan Dialog Perundangan 3R akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya.

Loading...
Terkini