Tumpuan :
Nasional

Kajian pemisahan kuasa AG dan Pendakwa Raya dijangka dibentang tahun depan

Timbalan Menteri di JPM (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran

KUALA LUMPUR: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang menyediakan laporan interim berdasarkan dapatan kajian empirikal mengenai pengasingan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya.

Timbalan Menteri di JPM (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, berkata laporan disediakan selama setahun oleh Pasukan Petugas Khas Teknikal Komparatif itu dijangka dibentangkan kepada Kabinet untuk pertimbangan tahun depan.

Beliau berkata, kajian empirikal dilakukan di Ottawa dan Toronto, Kanada serta Melbourne dan Canberra, Australia, masing-masing pada 6 hingga 9 Mei dan 3 hingga 6 Jun lalu.

“Pasukan itu sudah memperoleh maklumat dan data komprehensif serta menyeluruh, termasuk perkara teknikal, spesifik dan generik yang memberi penekanan kepada ‘big picture’ pelaksanaan pengasingan peranan AG dan Pendakwa Raya di negara ini.

“Negara terakhir akan dikaji oleh Pasukan Petugas Khas Komparatif ialah United Kingdom (UK) yang juga penutup kepada Kajian Empirikal, akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu menjawab soalan Teresa Kok (PH-Seputeh) mengenai status terkini usaha pemisahan peranan AG dan Pendakwa Raya serta garis masa untuk melaksanakan reformasi institusi berkenaan.

Beliau berkata, sesi perbincangan meja bulat juga sudah diadakan ketika kajian empirikal dihadiri pakar akademik perundangan, pengamal perundangan, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Australia, Kanada serta Malaysia.

Selain itu, katanya, kajian saintifik berdasarkan perspektif sains kemasyarakatan pandangan umum ke atas pengasingan peranan AG dan Pendakwa Raya selesai dijalankan bagi tempoh enam bulan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM).

“Kajian ini membabitkan pihak berkepentingan, termasuk masyarakat umum, agensi penguatkuasaan, pakar berkaitan dan kerajaan negeri.

“Ia merangkumi pengumpulan dan analisis data dan maklumat daripada pihak berkepentingan melalui pelbagai kaedah penyelidikan seperti perbincangan kumpulan fokus,” katanya.

Sementara itu, Kulasegaran berkata, Pasukan Petugas Khas Komparatif juga sedang meneliti model terbaik dan sesuai bagi pemisahan peranan AG dan Pendakwa Raya, memandangkan negara lain memiliki model berbeza.

Katanya, AG di Kanada dan Australia secara am tidak boleh memberi arahan kepada Pendakwa Raya, namun beliau dalam kes tertentu seperti membabitkan keselamatan, boleh memberikan arahan am dengan syarat ia diwartakan dengan pengetahuan umum.

“Di Australia, perkara menarik dikenal pasti adalah kes sivil membabitkan kerajaan dikendalikan jabatan berbeza iaitu ‘Australian Government Solicitors’ (AGS). Namun, agensi kerajaan tidak wajib menggunakan perkhidmatan guaman AGS, kecuali dalam kes tertentu.

“Justeru, aspek seperti ini perlu diteliti secara terperinci. Kajian empirikal juga diperlukan untuk meneliti aspek teknikal dalam usaha pemisahan ini, seperti implikasi kewangan kepada kerajaan dan keperluan sumber manusia,” katanya menjawab soalan tambahan Teresa.

Menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun), beliau berkata, pihaknya terbuka dengan cadangan pelantikan AG dibawa ke jawatankuasa di Parlimen sambil menegaskan ia perlu diperhalusi sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Beliau juga memaklumkan, pelantikan Datuk Mohd Dusuki Mokhtar sebagai AG baharu dibuat berdasarkan meritnya sebagai peguam kanan, selain muncul sebagai individu paling bijak, bagus dan berpengalaman untuk jawatan berkenaan.

“Sebenarnya apabila AG mengendalikan kes, dia bukan sahaja seorang peguam tetapi ada juga peguam lain. Dalam pemilihan dibuat kerajaan, beliau adalah paling bijak dan bagus kerana itu adalah ‘seniority’ beliau dan berpengalaman.

“Selain diketahui sebagai peguam berkebolehan, saya boleh katakan sedemikian kerana pernah berdepan dengan beliau dalam beberapa kes di mahkamah. Beliau sentiasa lebih ke hadapan dan juga ada kebebasan serta integriti,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini