Tumpuan :
Nasional

Kajian Mengenai Kenyataan Berbaur Kebencian di Malaysia akan dilaksanakan

Menurut Aaron, kajian itu hanya meliputi kenyataan berbaur kebencian di Malaysia tanpa melibatkan isu kebebasan bersuara.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kajian Mengenai Kenyataan Berbaur Kebencian di Malaysia akan dilaksanakan untuk mengenal pasti tahap kefahaman, pengaruh dan kesan permasalahan kenyataan berkenaan dalam masyarakat.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, perkara itu diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Menteri Perpaduan Negara bersama Exco-Exco Perpaduan Negeri dan Exco-Exco Hal Ehwal Agama Selain Islam (MExUnity) yang dipengerusikannya hari ini.

Menurut Aaron, masih belum terdapat kajian khusus berhubung isu terbabit di negara ini.

Justeru, beliau berkata, kajian oleh pasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dilaksanakan secara komprehensif untuk mengisi kelompangan tersebut.

“Kajian ini hanya akan memfokuskan kepada kenyataan berbaur kebencian yang berlaku di Malaysia tanpa melibatkan isu berkaitan dengan kebebasan bersuara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kenyataan berbaur kebencian di media sosial adalah suatu bahana serius yang memerlukan perhatian bersama daripada segenap lapisan masyarakat.

Tambahnya, dengan strategi dan langkah yang komprehensif serta pelaksanaan yang efektif, masyarakat multi-etnik mampu memperkasa keharmonian sosial dan mengurangkan pengaruh negatif daripada kenyataan berbaur kebencian.

Sementara itu, mesyuarat turut memutuskan Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2025 bakal diadakan di Pulau Pinang.

Aaron memaklumkan, sambutan terbabit bertujuan untuk memupuk perpaduan dan integrasi melalui pendekatan terpilih dan cekap sehingga ke peringkat akar umbi dengan matlamat untuk mengukuhkan hubungan masyarakat serta memelihara ekosistem perpaduan.

Pada masa sama, mesyuarat kedua tahun ini turut memberi fokus kepada perbincangan mengenai Kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak oleh pasukan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurut Aaron, kajian itu mendapati tahap kesepaduan sosial di Sabah dan Sarawak berada pada tahap tinggi.

“Hal ini bermakna perbezaan etnik, agama dan latar belakang masyarakat di negeri ini bukan faktor penghalang kepada kesepaduan sosial.

“Faktor jarak sosial yang dekat dan keakraban hubungan antara individu merupakan faktor dominan yang mempengaruhi kesepaduan sosial.

“Kedekatan hubungan jarak sosial ini boleh ditafsirkan bahawa sikap penerimaan dan saling percaya masyarakat di negeri ini melangkaui sempadan etnik, agama dan budaya,” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini