Tumpuan :
Nasional

Kaji semula projek tambak laut di pesisir pantai Melaka 

Oleh Baharuddin Mohamed 

MELAKA: Golongan nelayan dan penduduk di pesisiran pantai Melaka meminta kerajaan negeri mengkaji semula cadangan projek penambakan laut yang didakwa menjejaskan sosio-ekonomi mereka.

Projek tambakan berkeluasan 476 hektar itu dikatakan bakal mengakibatkan kawasan penangkapan ikan semakin mengecil selain menjejaskan ekosistem di kawasan pantai.

Kerisauan itu disuarakan penduduk dan nelayan pantai yang terlibat dengan cadangan projek tebus guna pantai sepanjang 33 kilometer dari Klebang ke Serkam untuk pembinaan pelabuhan laut dalam dan terminal cruise yang berpusat di Pulau Melaka.

Ekoran itu, sebahagian penduduk dan nelayan mengemukakan notis bantahan terhadap cadangan projek itu kepada Jabatan Alam Sekitar, JAS, di Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Penduduk dan nelayan yang ditemui berkata, beberapa projek tambakan laut sebelum ini yang dilaksanakan di Pulau Melaka telah banyak memberi kesan negatif terhadap mata pencarian penduduk.

Antara kesan yang dialami mereka ialah pencemaran alam sekitar yang menyebabkan hasil tangkapan ikan semakin berkurangan selain masalah banjir kilat.

Bagi mereka, kerajaan negeri sewajarnya memberi tumpuan membangunkan pelabuhan sedia ada di Tanjung Beruas dan Kuala Linggi berbanding membina sebuah lagi di Pulau Melaka.

Mereka mempertikaikan cadangan pembinaan pelabuhan baharu itu yang terletak berdekatan antara satu sama lain.

Seorang wakil nelayan, Martin D’ Siera, 57, berkata, hasil tangkapan lautnya semakin berkurangan sejak pelbagai projek tambakan dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Golongan nelayan juga katanya, terpaksa mengeluarkan modal lebih besar apabila terpaksa pergi lebih jauh ke tengah laut untuk menangkap ikan.

Ini kerana jelasnya, kawasan pesisir pantai di sekitar perairan nelayan perkampungan Portugis semakin sempit untuk kerja-kerja penangkapan ikan.

“Sekarang hendak cari udang geragau, ikan gelama, ikan belanak dan ketam bunga pun semakin susah. Nelayan pula terpaksa mengeluarkan kos minyak yang lebih mahal sebab terpaksa pergi jauh ke tengah laut untuk menangkap ikan,” katanya.

Luahan sama disuarakan wakil penduduk dari Alai, Melaka, Khairil Anuar Samad, 52, yang resah apabila kawasan penempatan mereka sering dilanda banjir kilat yang mungkin berpunca daripada penambakan laut.

Katanya, kawasan penempatan di Alai dilihat tidak sesuai sama sekali untuk dijadikan pelabuhan laut dalam kerana ia adalah kawasan kediaman penduduk.

“Penduduk yang tinggal di tepi pantai terutama di Alai dan Telok Mas sering dilanda banjir kilat dipercayai berpunca daripada kerja-kerja penambakan di pesisiran pantai,” katanya.

Masalah penduduk dan nelayan itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Phoay Tiong yang meminta kerajaan negeri mengkaji secara terperinci cadangan projek tebus guna pantai itu.

Beliau bercadang akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri berhubung cadangan projek terbabit untuk mencapai situasi menang-menang antara penduduk dan pemaju projek.

“Kita meminta kerajaan negeri mempertimbangkan semula kelulusan cadangan projek penambakan laut ini dan membuat kajian yang lebih terperinci.

“Kita tidak menolak pembangunan sebaliknya satu formula yang lebih komprehensif perlu dilakukan agar penduduk juga dapat manfaat daripada projek berkenaan,” katanya.

Loading...
Terkini