KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKD) meminta pihak Cyber Security Malaysia (CSM) menilai aspek keselamatan yang dicurigai Kesatuan Eropah (EU) terhadap aplikasi TikTok, sama ada ia boleh terus digunakan pada semua peranti, peralatan dan perkakasan milik Kerajaan Persekutuan.
Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata perkara itu penting kerana ia membabitkan rahsia rasmi kerajaan dan adalah mustahak untuk pihak KKD meneliti serta memahami perkara berkenaan.
“Saya dapati dalam media sosial, orang ramai mula mempertikai kononnya moderator di TikTok Malaysia ada yang bersikap berpihak atau prejudis terhadap sesuatu pihak (memihak kepada parti politik tertentu).
“Saya sudah berhubung dengan pihak TikTok Malaysia dan bagi saya, tuduhan berkenaan sangat berat kerana ia memberi gambaran bahawa ada pihak yang sudah menyelusup masuk ke dalam kumpulan moderator TikTok seramai 4,000 orang.
“Kumpulan itu dikatakan menjalankan satu operasi di sebalik tabir untuk mempromosikan pihak tertentu (yang disokong mereka), jadi ini satu dakwaan agak serius. Saya akan menjemput pihak TikTok Malaysia untuk meneliti dan membuat semakan dari segi keselamatan terhadap moderator berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih di Dewan Serbaguna Perumahan Awam Desa Rejang di sini, hari ini.
Terdahulu, dua institusi pembuat dasar terbesar EU mengharamkan TikTok daripada telefon kakitangan mereka atas alasan keselamatan siber, menandakan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai aplikasi perkongsian video pendek China dan data penggunanya.
TikTok yang dimiliki firma berpangkalan di China, ByteDance, berada di bawah pengawasan kerajaan dan pengawal selia kerana kebimbangan Kerajaan China boleh menggunakan aplikasinya untuk mengumpul data pengguna atau memajukan kepentingannya.
Fahmi berkata, pihaknya tidak mahu orang ramai salah faham berhubung perkara berkenaan dengan mengekang hak bersuara.
“Hak bersuara itu termaktub dalam Perlembagaan tetapi menyebar fitnah itu tidak, dan membantu dalam sebaran fitnah itu juga satu masalah yang perlu kita teliti supaya TikTok Malaysia tidak tercemar dengan perkara seperti itu (berpihak kepada kumpulan tertentu).
“Untuk isu penggunaan aplikasi TikTok membabitkan peranti, peralatan dan perkakasan milik Kerajaan Persekutuan, kita akan tunggu dapatan hasil kajian pihak CSM terlebih dulu,” katanya.