SONGKHLA: Perkahwinan di selatan Thailand bukanlah perkara baharu.
Kebanyakan rakyat Malaysia yang memilih cara itu, adalah disebabkan prosesnya yang dianggap mudah.
Namun trend itu membawa pelbagai risiko jangka panjang, bukan sahaja kepada pasangan pengantin, tetapi juga zuriat yang bakal dilahirkan.
Secara purata, 300 permohonan rakyat Malaysia diterima setiap bulan, untuk melangsungkan pernikahan di beberapa wilayah di selatan Thailand.
Ini didorong pelbagai faktor, antaranya berkahwin tanpa restu keluarga dan mahu berkahwin lebih daripada satu tanpa pengetahuan isteri pertama atau berpoligami.
Menurut Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, hanya segelintir tampil berdaftar di pejabat konsulat.
“Memang ada dalam borang tu, mereka perlu nyatakan sebab kenapa pernikahan tu berlaku di Thailand ini. Majoriti kecil sebab pasangan tu berkahwin orang Thailand, tetapi yang rata-rata pasangan tu adalah dua-dua rakyat Malaysia, saya dapati majoritinya adalah berpoligami.
Selain Songkhla, Narathiwat dan Yala, Pattani dan Satun turut menjadi tumpuan.
Meskipun tidak berdepan syarat ketat, perkahwinan di sempadan boleh membawa kerosakan terhadap institusi kekeluargaan di tanah air, jika tidak didaftarkan secara sah.
Ahmad Fahmi berkata, “Apa yang berlaku ialah mereka yang bernikah di Majlis Agama Islam di lima wilayah, dia tak datang ke konsulat. Mereka terus balik. Jadi mereka ini lah yang kami tahu tak nak mendaftarkan perkahwinan di Malaysia.”
Natijahnya, proses membuat sijil kelahiran anak di Jabatan Pendaftaran Negara akan menjadi sukar, selain berdepan kesulitan proses pendaftaran persekolahan.
Ia juga akan menyukarkan tuntutan harta di mahkamah, di mana hal ini sering berlaku kepada pasangan yang berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertama.
“Nasihat saya, dapatkan dokumentasi lengkap dari Majlis Agama Islam yang melakukan pernikahan tersebut. Lagi satu, pastikan jurunikah adalah jurunikah bertauliah dari Majlis Agama Islam itu, kerana terdapat juga sindiket yang melakukan pernikahan, tetapi rupanya jurunikahnya tidak bertauliah.
Saksikan laporan kedua wartawan Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi mengenai perkahwinan di selatan Thailand, dalam Buletin Utama esok, 28 April.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.