comscore
Tumpuan :
Nasional

Kaedah rawatan yang diperlukan penagih dadah berbeza – NGO

Foto hiasan

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Keberkesanan dalam menangani isu berkaitan penagihan dadah di negara ini berada di tahap yang rendah.

Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Hafizi Harun berpandangan sedemikian kerana profil pengguna dan penagih dadah kini telah berubah.

“Dari sudut jenis-jenis dadah yang digunakan, dari sudut umur, dan sudut generasi yang berbeza.

“Jadi kerosakan yang dialami, kesan-kesan akibat daripada penyalahgunaan dadah itu pun berbeza buat pengguna dadah jenis yang berlainan.

“Tetapi pendekatan yang digunakan dalam menangani gejala penagihan dadah masih sama iaitu berunsur ataupun bersifat menghukum,” katanya kepada Buletin TV3.

Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Hafizi Harun

Selain itu katanya, tahap keberkesanan ini juga bergantung kepada stigma yang ditanamkan dalam masyarakat negara kita.

Jelasnya, selagi stigma buruk ini masih terbenam dalam lubuk pemikiran masyarakat, ianya menyukarkan usaha penagih dadah mendapatkan rawatan.

Hafizi berkata, disebabkan stigma ini juga, tidak ramai penagih dadah yang berani untuk keluar dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

“Jadi selagi stigma ini masih ada, ia menyukarkan usaha mereka yang ingin mendapatkan rawatan.

“(Penagih dadah) susah untuk mendapatkan akses dan pelbagai bentuk rawatan disediakan (kerana stigma itu),” katanya.

Tambah Hafizi penagih dadah bukan sahaja perlu diberikan rawatan, malah kaedah rawatan yang diperlukan bagi setiap individu itu juga berbeza.

“Untuk setiap individu tak sama, ada yang memerlukan rawatan kaunseling, yang memerlukan rawatan berkaitan dengan kesihatan mental disebabkan penyalahgunaan dadah dan ada yang memerlukan bantuan dari sudut bantuan guaman disebabkan oleh isu-isu yang timbul ekoran penyalahgunaan dadah berkenaan.

“Jadi keperluan bagi setiap individu yang ketagihan dadah ni berbeza-beza dan mereka perlu mendapatkan akses rawatan yang lebih bersifat individu,” katanya.

Tambahnya, 60% populasi banduan yang berada di penjara adalah banduan yang mempunyai kes berkaitan dengan dadah.

Oleh itu, Hafizi berpandangan, salah satu kaedah yang boleh mengurangkan populasi banduan berkaitan dadah dan penagih dadah adalah dengan mengenakan pendekatan alternatif.

“Mereka (penagih dadah) boleh dikenakan alternatif hukuman berbentuk ataupun denda seperti khidmat masyarakat untuk beberapa jam yang telah ditetapkan.

“Ataupun mungkin dikenakan pendekatan khidmat masyarat ditambah dengan beberapa jam sesi kaunseling kelompok dan kaunseling individu dengan pakar kesihatan mental serta pakar kaunseling.

“Atau juga ada kes-kes setelah melalui penilaian, mereka diarah memasuki pusat-pusat rawatan yang dikendalikan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk tempoh- tempoh tertentu.

Cadangnya, NGO yang terlibat juga perlu memberikan laporan dari semasa ke semasa kepada pihak berkuasa.

Ia dilihat sebagai satu kaedah menangani yang lebih bersifat membantu penagih berbanding hukuman penjara dan penyisihan golongan berkenaan dalam masyarakat.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) berharap pendekatan terhadap pesalah dan penagih dadah di negara ini, ditangani menerusi rawatan dan pemulihan berbanding kaedah semasa yang lebih menjurus ke arah penguatkuasaan dan pemenjaraan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia berikutan penagihan dadah adalah sejenis ‘penyakit kronik’ yang perlu ditangani dengan kaedah lebih berkesan, berbanding pendekatan hukuman yang menyebabkan pengguna dan penagih dadah terperangkap dalam proses undang-undang.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan sebarang usaha yang menuntut supaya individu yang ditangkap kerana menagih dan menyalahgunakan dadah, ditangani menerusi pendekatan kesihatan awam.

Loading...
Terkini