Tumpuan :
Nasional

Kaedah pengurusan dana agensi kerajaan bantu golongan miskin perlu dikaji semula – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berucap ketika Majlis Peluncuran Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. – FOTO: NSTP

Oleh: Fareez Azman

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar pengurusan dana oleh agensi kerajaan terhadap golongan miskin tegar di negara ini dikaji semula.

Jelasnya, ia bagi memastikan peruntukan dana yang disediakan kerajaan dapat disalurkan sepenuhnya kepada golongan itu.

“Hal ini disebut ‘whole government approach’, harus dilaksanakan, dana diperuntukan kerajaan dari dulu, dari segi dana untuk orang miskin itu tinggi RM20 hingga RM22 bilion.

“Saya hadir dalam seminar Khazanah Nasional dimana salah seorang sarjana memberitahu, kalau dana itu tidak diturunkan melalui agensi, diberikan langsung kepada setiap orang miskin, tidak ada masalah kita selesaikan kemiskinan tegar.

“Sekarang, dana RM20 bilion (disalur) kepada semua agensi. Ya (adakalanya) tidak praktik. Kita perlu memikir semula pendekatan kita. (Dananya) terlalu banyak. Ada agensi untuk (bantu) rakyat miskin, 80 peratus (dana) itu (digunakan) untuk belanja pengurusan, 20 peratus untuk (disalur kepada yang) paling miskin.

“Ada agensi tumpuannya untuk bantu golongan rentan dan miskin, tapi puluhan (dana) tiap kali bila ada acara diluar negara dibelanjakan.

“Sebab itu kita mulai keras hari ini kerana ia jadi budaya, salah tetap salah dia kena ikut peraturan, kerana prosedur itu berat sebelah dan tidak adil.

“Sebab kita salah guna, sebab itu pemantauan itu harus. Saya harap seminar, simposium ini hal-hal ini dibicarakan, kalau tidak setiap kali diminta peruntukan, mana negara mampu berikan peruntukan lebih dari negara ini,” katanya lagi.

Justeru, tegas Perdana Menteri lalu, isu ketirisan peruntukan dana perlu diberi perhatian serius terutama membabitkan peruntukan terhadap golongan rentan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Kebangsaan Menoktah Kemiskinan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini