Tumpuan :
Nasional

Kaedah bantuan terus kepada mangsa banjir akan dikekal – Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melawat mangsa banjir di PPS SK Nibong dan SMK Matang, Hulu Terengganu Sabtu lepas.

KUALA LUMPUR: Kaedah pemberian terus bantuan kepada mangsa banjir menerusi agensi yang berkaitan berbanding wakil rakyat akan dikekalkan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara itu berkata, bantuan sudah diberikan secara sama rata oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan agensi lain.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) turut memberi bantuan.

“Insya-Allah, dengan keberadaan mereka di tempat banjir terutama pusat pemindahan sementara (PPS) cukup meredakan perasaan amarah (mangsa banjir) jika melihat tidak ada wakil rakyat yang turun,” katanya kepada Bernama malam tadi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada sidang media di Parlimen menggesa kerajaan mempertimbang peruntukan segera sebanyak RM1 juta kepada Ahli Parlimen pembangkang yang kawasan mereka terjejas banjir untuk disalurkan kepada mangsa.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula memohon kerajaan supaya membenarkan bantuan kewangan disalurkan terus kepada wakil rakyat di kawasan terjejas banjir bagi mengelakkan ia lambat diterima oleh mangsa.

“Kita minta Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen turun untuk membantu mereka dengan kaedah yang mereka sendiri tahu kerana mereka harus menyantuni pengundi masing-masing,” kata Ahmad Zahid.

Sementara itu, semasa temu bual bertajuk Dua Tahun MADANI Bersama Zahid Hamidi, beliau berkata kerajaan berpegang kepada konsep ‘buta warna’ dalam pemberian bantuan kepada mangsa banjir tanpa mengira kawasan.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri harus bekerjasama dalam hal itu demi kebajikan semua rakyat yang terjejas.

“Kita boleh berbeza pendapat tetapi saya harap perkara ini difahami oleh semua supaya kepentingan rakyat diberikan keutamaan,” katanya sambil menambah semua negeri tanpa mengira parti yang memerintah harus seiring dengan Kerajaan MADANI.

Ahmad Zahid juga berkata, kerajaan ketika ini berada pada tahap persediaan tertinggi bagi mendepani gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku dari 8 hingga 14 Disember akibat luruan monsun.

Beliau berkata, ini termasuk mengenal pasti sejumlah 8,481 PPS yang boleh memuatkan lebih 2.1 juta mangsa banjir pada satu-satu masa selain pembabitan 82,000 petugas pelbagai agensi dalam penyelarasan bantuan.

“Kita tidak mengharapkan sesuatu yang buruk tetapi lebih baik daripada sudah terhantuk baru terngadah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini