Tumpuan :
Nasional

Kadar zakat fitrah Selangor kekal ikut harga beras yang dimakan

Foto hiasan

SHAH ALAM: Kadar zakat fitrah di Selangor pada Ramadan tahun ini kekal seperti tahun sebelumnya iaitu pada kadar RM7, RM14 dan RM21 mengikut jenis beras yang dimakan.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam kenyataan memaklumkan penetapan kadar zakat itu adalah berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan umat Islam Selangor pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.

“Kadar zakat fitrah ditetapkan RM7 untuk pengguna beras Super Special Tempatan lima peratus dan ia adalah kadar wajib minimum sebagaimana diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

“Kadar RM14 adalah bagi pengguna beras Super Import, Beras Perang, Beras Pulut, Herba Ponni dan Beras Wangi.

“Bagi kadar RM21 pula adalah untuk umat Islam yang memakan beras jenis Basmathi, Beras Jepun, Beras Merah dan setaraf dengannya,” katanya.

LZS memaklumkan, kadar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan diperkenalkan oleh agensi itu sejak tahun 2018 lagi.

Justeru itu katanya, tiga jenis kupon fitrah berwarna yang bersandarkan nilai mata wang ringgit Malaysia digunakan sepanjang Ramadan ini iaitu hijau bagi kadar fitrah bernilai RM7, merah bernilai RM14 dan oren (jingga) bernilai RM21.

“LZS melantik seramai 2,778 orang Penolong Amil Fitrah (PAF) di seluruh Selangor bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah.

“Orang ramai diingatkan untuk menunaikan zakat fitrah kepada PAF yang dilantik berdasarkan kad tauliah dan sijil lantikan yang disahkan oleh LZS.

“Pembayaran zakat fitrah juga boleh dibuat melalui 17 Penolong Amil Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 96 Maahad Tahfiz serta Sekolah Agama Swasta di negeri ini.

Mengulas lanjut, LZS turut menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat.

Katanya, antara saluran pembayaran zakat yang boleh dilakukan secara dalam talian adalah melalui EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my; Perbankan internet; Portal MyEg; Pos Online; Aplikasi e-dompet MAE, Touch N Go, Selangkah, GoPayz dan Boost.

“Bersempena Ramadan ini, LZS turut menyediakan Zakat On Wheels di lokasi strategik seperti di masjid, bazaar Ramadan, pasar tani, pasar raya dan sebagainya di sekitar Selangor bagi memudahkan umat Islam yang memerlukan perkhidmatan LZS.

“18 cawangan LZS di seluruh Selangor juga akan dibuka selama tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini bagi memudahkan masyarakat yang mengambil kesempatan menunaikan zakat harta dan fitrah pada bulan Ramadan.

“Waktu urusan pada hari bekerja bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan LZS akan dibuka bermula 9 pagi hingga 3 petang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini