comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kadar tol lebuh raya BESRAYA, LEKAS turun mulai tengah malam ini

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya mengumumkan penurunan kadar tol di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata penurunan kadar tol antara 15 sen hingga 50 sen itu dibuat selepas perbincangan dan persetujuan syarikat konsesi dua lebuh raya itu, IJM Corporation Berhad.

Katanya, penurunan kadar tol itu yang selaras keputusan Jemaah Menteri pada 21 Disember lalu, juga adalah sebahagian daripada persetujuan penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuh raya berkenaan yang diputuskan kerajaan.

“Penurunan kadar tol adalah sebanyak RM0.15 bagi kenderaan kelas 1 yang melalui plaza tol Loke Yew dan Mines (arah Utara dan Selatan) di Lebuhraya BESRAYA.

“Manakala kadar tol Lebuhraya LEKAS bagi kenderaan kelas 1 dikurangkan daripada 0.1811 sen/km kepada 0.1666 sen/km untuk sistem tol tertutup dan kadar tol kekal seperti sedia ada bagi sistem tol terbuka iaitu di Plaza Tol Ampangan.

“Kadar tol yang dikutip pada masa ini adalah sebanyak RM2.00 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuhraya BESRAYA, dan RM8.30 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang menggunakan keseluruhan Lebuhraya LEKAS.

“Melalui penurunan kadar tol mulai 1 Januari 2023, kenderaan kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuhraya BESRAYA akan membayar RM1.85 sehala; manakala pengguna yang menggunakan keseluruhan Lebuhraya LEKAS akan membayar RM7.80 sehala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Loading...
Terkini