KUALA LUMPUR: Kadar perceraian yang tinggi di negara ini berlaku dalam kalangan ‘keluarga muda’ iaitu perkahwinan di bawah usia 10 tahun.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata ia mengambil kira purata usia rakyat Malaysia yang memasuki ikatan perkahwinan pada usia antara 27 dan 28 tahun.
Beliau berkata, berdasarkan Laporan Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2023, kes cerai tertinggi dicatatkan dalam kumpulan usia 35 hingga 39 tahun bagi lelaki dan 30 hingga 34 tahun bagi perempuan.
Katanya, dalam usaha memperkasa institusi keluarga, Nancy berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) memperkenalkan program bersesuaian di pelbagai fasa perkahwinan, iaitu dari sebelum dan di awal perkahwinan serta seiring perkembangan keluarga.
“Bagi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga, kursus praperkahwinan yang ditawarkan LPPKN menyasarkan untuk memberi pengetahuan dan kemahiran kepada peserta mengenai persediaan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
“Bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, LPPKN turut menyediakan perkhidmatan berhubung perancangan keluarga, manakala bagi pasangan yang menghadapi masalah mendapatkan anak, LPPKN menawarkan perkhidmatan rawatan kesuburan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang bertanya mengenai perancangan kementerian mewujudkan pelan pemerkasaan keluarga, terutama kepada keluarga yang baru memasuki fasa lima tahun pertama perkahwinan, khususnya dalam kalangan pasangan muda.
Mengambil kira kadar perceraian dalam kalangan perkahwinan muda yang tinggi, Nancy berkata, LPPKN juga membangunkan program tambahan, SMARTSTART 2nd Honeymoon, iaitu program bagi memperkasa perkahwinan khusus kepada pasangan dengan usia perkahwinan lima tahun ke atas.
Beliau berkata, setiap program disediakan untuk pelbagai fasa perkahwinan itu bertujuan membantu pasangan melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan, ilmu, amalan terbaik, perkongsian tip dan menggalakkan sikap keterbukaan dan jujur terhadap diri dan pasangan dalam setiap fasa.
“Bagaimanapun, kebahagiaan dan kesejahteraan sesebuah perkahwinan tetap bergantung kepada peranan dimainkan pasangan itu sendiri.
“KPWKM melalui agensinya, LPPKN akan terus komited meneruskan agenda pemerkasaan institusi perkahwinan dan keluarga menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif ke arah pembentukan keluarga yang harmoni dan sejahtera selaras acuan masyarakat Malaysia MADANI,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.