Tumpuan :
Nasional

Kadar pengangguran Malaysia susut 3.1 peratus, terendah dalam hampir 10 tahun

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran Malaysia pada Disember 2024 menurun kepada 3.1 peratus, paras terendah dalam tempoh 116 bulan, dengan jumlah penganggur seramai 544,000 orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pasaran buruh negara terus menunjukkan prestasi baik seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh menjelang penghujung tahun lalu.

Jumlah tenaga buruh meningkat 0.1 peratus kepada 17.32 juta orang, dengan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) meningkat kepada 70.6 peratus.

“Guna tenaga mencatatkan perkembangan yang stabil, dan bilangan penganggur terus berkurang. Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada bulan Disember 2024 kekal berada pada trend menaik dengan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.32 juta orang, merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi iaitu 70.6 peratus berbanding 70.5 peratus pada bulan yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun menurun kepada 10.3 peratus, dengan jumlah penganggur belia seramai 299,700 orang. Bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun, kadar pengangguran susut kepada 6.1 peratus, dengan 410,800 penganggur direkodkan.

Selain itu, Selangor dan Kedah mencatat kadar pengangguran terendah pada suku keempat 2024 iaitu 1.7 peratus, diikuti Melaka (1.8 peratus), serta Johor dan Pulau Pinang (2.2 peratus). Selangor juga merekodkan KPTB tertinggi pada 76.4 peratus.

Berdasarkan purata tahunan, KPTB pada 2024 meningkat kepada 70.4 peratus, naik 0.4 mata peratus daripada 2023. Kadar pengangguran keseluruhan turun kepada 3.3 peratus berbanding 3.4 peratus pada tahun sebelumnya.

Mohd Uzir menjelaskan bahawa ekonomi Malaysia kekal berada dalam trajektori pertumbuhan positif, disokong oleh pasaran buruh yang stabil meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi global.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini