SUBANG JAYA: Wujud keperluan supaya gaji dan faedah kakitangan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dikaji semula bagi memastikan mereka memperoleh bayaran setanding pasaran.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ia kerana kadar pemberhentian dalam kalangan kakitangan Prasarana ketika ini boleh dianggap sebagai satu situasi yang membimbangkan.
Jelasnya, kajian mendapati sebahagian besar mereka terutama dari bahagian teknikal yang meninggalkan syarikat itu sebelum ini, lebih tertarik dengan tawaran yang diberikan negara luar termasuk di Singapura.
“Pada 2022 seramai 836 kakitangan Prasarana meletak jawatan, satu ‘turnover rate’ (kadar pemberhentian) yang agak tinggi. Untuk Rapid Rail adalah enam peratus, manakala Rapid Bus mencecah 11 peratus. Ini situasi membimbangkan.
“Majoriti mereka meninggalkan Prasarana adalah kakitangan teknikal dan kapten bas yang tertarik dengan tawaran lebih lumayan oleh pengusaha bas dan rel di dalam dan luar negara termasuk Singapura dan Timur,” katanya.
Justeru, adalah menjadi tanggungjawab Prasarana dan kerajaan untuk memastikan kebajikan pekerja berkemahiran tinggi sentiasa dijaga, di mana terdapat keperluan untuk mengkaji semula gaji dan faedah sedia ada supaya setanding pasaran.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Rapid Rail di sini hari ini.
Pada majlis sama, Loke turut mengumumkan enam insentif penambahbaikan faedah kepada kakitangan Prasarana termasuk kenaikan gaji kepada kakitangannya sebanyak empat hingga 10 peratus berdasarkan skor prestasi kerja
Turut diumumkan, penambahbaikan kadar elaun syif sebanyak 36.3 peratus bagi syif siang dan 53.8 peratus bagi syif malam, dilaksana khususnya kepada kumpulan barisan hadapan dan kakitangan bukan eksekutif membabitkan 2,800 warga Prasarana.