KUALA LUMPUR: Kerajaan komited dalam memastikan akses pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti kepada semua lapisan masyarakat.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru pelajar dan ibu bapa untuk merebut peluang membina kerjaya yang mampan dan berdaya saing, untuk meneroka pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) sejajar dengan minat dan kecenderungan masing-masing, selain laluan akademik konvensional.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara menegaskan kerangka Sistem Pendidikan TVET, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah melahirkan ramai tenaga mahir, profesional, teknologis dan usahawan yang berjaya.
Katanya, kadar kebolehpasaran graduan TVET KKDW mencapai 98 peratus pada tahun 2024, membuktikan bahawa TVET bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan yang luas, tetapi juga mampu membentuk masa depan yang lebih cerah.
“Hari ini, seramai 402,956 calon berdaftar telah menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya mengucapkan tahniah kepada semua pelajar atas usaha dan kesungguhan mereka sepanjang tempoh peperiksaan.
“Namun, tamatnya SPM bukanlah penamat, ia adalah permulaan kepada satu fasa baharu dalam kehidupan. Kini, tibalah masanya untuk para pelajar menentukan hala tuju masa depan, sama ada dalam pendidikan tinggi atau bidang kerjaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Di Malaysia ujarnya, terdapat 1,398 institusi TVET, merangkumi 673 institusi TVET awam, 697 institusi TVET swasta dan 28 institusi TVET di bawah kerajaan negeri.
Ekosistem TVET yang dinamik dan luas menawarkan pelbagai bidang kemahiran yang relevan dengan keperluan industri dan pasaran kerja semasa.
“Peluang menyambung pengajian dalam TVET terbuka sepanjang tahun dengan pelbagai pilihan fleksibel melalui Sistem UP_TVET.
“UP_TVET Flexi, yang dibuka sejak Januari 2025, membolehkan individu mengikuti latihan kemahiran secara modular dan anjal, mengikut kesesuaian jadual masing-masing. UP_TVET Perdana bagi Kursus Sepenuh Masa Ambilan Julai 2025 pula akan dibuka untuk permohonan pada April 2025,” tambahnya.
Sebagai peneraju utama dalam pembangunan tenaga mahir luar bandar, KKDW katanya turut menyediakan pelbagai program TVET yang menepati keperluan industri negara.
Sebanyak 280 institusi di bawah KKDW, termasuk MARA, KEMAS, JAKOA, PERDA, KEDA, RISDA dan KETENGAH, menawarkan 529 program dari peringkat Sijil Kemahiran hingga Ijazah Kedoktoran, meliputi 15 kluster bidang kritikal untuk pasaran kerja semasa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.