Tumpuan :
Nasional

Kadar hujan melebihi jangkaan antara punca banjir besar Pantai Timur

Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kadar taburan hujan di Kelantan dan Terengganu dalam tempoh lima hari, dari 26 hingga 30 November lalu adalah jauh daripada jangkaan, melebihi kadar hujan yang lazimnya diterima selama enam bulan, sehingga membawa kepada banjir besar di negeri itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata di Kelantan, dalam tempoh berkenaan, bacaan di stesen hujan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencecah lebih 1,167 milimeter (mm), manakala berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), bacaan adalah pada kadar 1,442 mm.

“Itu adalah rekod hujan yang terlalu tinggi. Di Terengganu umpamanya, METMalaysia rekod di Besut, mencatatkan jumlah hujan sebanyak 1,761 mm, itu dalam tempoh lima hari dan secara umumnya mencatatkan 1,439 mm.

Foto fail

“Jadi memang jauh luar daripada jangkaan. Maknanya lima hari kadar hujannya itu lebih daripada enam bulan biasa,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai sama ada Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (DRR) akan dipercepat bagi membolehkan semua fasiliti besar mitigasi banjir disegerakan, termasuk Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) ke Pantai Timur, susulan banjir dalam skala luar biasa kini yang melanda seluruh negara, yang akan menempuh beberapa gelombang.

Perdana Menteri berkata, DRR diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan gerak kerja pada kali ini disifatkan beliau sangat memuaskan.

“Saya juga menghargai kerana persiapannya berbulan-bulan sebelum itu. Mesyuarat di Persekutuan, kerajaan negeri dan wakil daerah, dan ini menyebabkan langkah diambil seperti yang saya saksikan sendiri di Terengganu dan daripada rakan lain saksikan di Kelantan sangat memuaskan,” katanya.

Foto fail NSTP

Memperincikan kemajuan projek tebatan banjir di Pantai Timur, Perdana Menteri, berkata di Kelantan, Fasa Satu, meliputi jajahan Tumpat dan sebahagian Pasir Mas sudah siap 70 peratus dan dijangka siap pada awal 2026.

Fasa Dua, meliputi jajahan Rantau Panjang dan sebahagian Pasir Mas diminta dipercepat, manakala Fasa Tiga, meliputi jajahan Tumpat, Tanah Merah, Pasir Mas dan Jeli sudah siap empat peratus.

“Bagaimanapun, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan sudah hampir siap, iaitu Fasa Satu, meliputi jajahan Kota Bharu, Tumpat, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai, sudah 98 peratus siap dan dijangka siap pada Januari atau Februari 2025), manakala Fasa Dua, meliputi jajahan Kota Bharu, baru dimulakan pada tahun ini dan empat peratus siap.

“Di Terengganu, Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kemasik, sudah 91.8 peratus siap dan dijangka beroperasi penuh pada akhir Januari 2025, manakala RTB Sungai Tepoh dan Benggol Air Lilih yang baru dimulakan, termasuk di Bukit Puteri dan lain-lain di Bukit payung.

“Tiga projek RTB yang sudah siap di Terengganu iaitu, RTB Sg Besut Fasa Satu, RTB Gong Kiat dan RTB Guntung Luar, Setiu,” katanya.

Foto fail NSTP

Di Pahang, Perdana Menteri berkata, sebanyak 14 projek utama dilaksanakan termasuk lapan sedang dalam pelaksanaan termasuk Pekan, Kuantan, Sungai Yeh, Sungai Maran, Sungai Jelai dan Sungai Pahang.

Selain itu katanya, Program Ramalan Dan Amaran Banjir (PRAB) juga canggih, dengan sistem model ramalan banjir itu menggunakan pendekatan hidrodinamik dan simulasi banjir dihasilkan dengan gabungan pelbagai input, termasuk data hidrologi dari stesen telemetri PRAB dan data ramalan hujan dari Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang menggunakan model ramalan cuaca berangka, menggunakan teknologi satelit dan radar.

“Itu untuk mengenal pasti dan sebab. Sekarang ini kalau diberitahu oleh Ketua Pengarah MET bahawa untuk minggu depan, sekitar 8 atau 9 Disember, kita harus lebih berwaspada.

“Doa insya-Allah lebih terkawal tetapi ada gambaran hujan akan lebat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini