comscore
Tumpuan :
Nasional

Kadar fi cetak Sijil Pemilikan Kenderaan turun kepada RM20 

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Berkuat kuasa hari ini, kadar fi untuk mencetak Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) di Semenanjung akan diturunkan daripada RM50 kepada RM20, manakala kadar fi di Sabah dan Labuan akan diturunkan dari RM25 kepada RM20.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kadar fi bagi Sarawak pula dikekalkan dengan kadar semasa iaitu RM5.

“Penyelarasan ini bertujuan untuk merapatkan jurang perbezaan kadar fi antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Anthony memaklumkan, berkuat kuasa hari ini juga, kekerapan pemeriksaan berkala untuk kenderaan sekolah memandu akan diturunkan.

Kekerapan pemeriksaan itu diturunkan dari setiap enam bulan kepada setiap tahun untuk kenderaan yang berumur bawah 10 tahun dari tarikh pendaftaran, manakala kekal setiap enam bulan bagi kenderaan yang melebihi 10 tahun.

Sementara itu, pengecualian pemeriksaan berkala juga akan diberikan kepada kenderaan baharu sekolah memandu yang berumur tidak lebih tiga tahun.

“Dasar ini akan mengalakkan sekolah memandu untuk menyediakan kenderaan yang lebih baharu untuk calon-calon sekolah memandu. Kebanyakkan kenderaan-kenderaan ini digunakan dalam litar sekolah memandu atau di laluan tetap ujian,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan bercadang untuk melaksanakan sistem pemeriksaan kesihatan secara berkala terhadap pemandu lanjut usia, jelas Anthony, pihaknya sedia mempertimbangkan cadangan itu, namun perlu melihat kaedah pelaksanaannya.

“Kita tidak mengambil keputusan terburu-buru untuk katakan warga emas tidak boleh memandu, kita tak buat keputusan itu, kita pun tidak menghala ke dasar tersebut.

“Memang ada ramai warga emas memandu terutama di luar bandar, sebab itu kita nak lihat ‘practicality’ (pelaksanaan), kalau kita kata ada ‘cut-off date’ (tempoh akhir) tak benarkan warga emas memandu, di kampung macam mana, mereka tidak ada mobiliti, dia nak pergi ke masjid, surau, warung, pasar, sukar kalau tak dibenar untuk memandu,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Keselamatan Jalan Raya dan Pengangkutan Malaysia (MRTSA), Md Hairolazaman Muhamed Nor dilapor menyarankan pihak berkuasa supaya memperkenalkan sistem pemeriksaan kesihatan secara berkala terhadap pemandu lanjut usia sebagai langkah mencegah kemalangan membabitkan golongan itu.

Hasil kajian yang dijalankan Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Jun tahun lalu mendedahkan, kira-kira 30 peratus warga emas berusia 60 tahun ke atas dikesan masih memandu secara aktif, terutama di luar bandar sehingga berpotensi meningkatkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.

Selain itu, majoriti pemandu lanjut usia itu juga didapati memandu berseorangan dengan kekerapan sekurang-kurangnya satu hingga dua kali seminggu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini