Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kadar fi akuan berkanun termasuk ekshibit dinaikkan kepada RM10 berkuat kuasa 16 Januari ini setelah tiga dekad tidak disemak semula.
Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dalam satu kenyataan berkata, penetapan kadar baharu fi itu berdasarkan semakan dan kajian terperinci yang dilaksanakan oleh kerajaan dengan pihak berkepentingan dan Pertubuhan Gabungan Pesuruhjaya Sumpah Malaysia (PESUMA).
“Kerajaan telah bersetuju menyemak semula kadar fi akuan berkanun (statutory declaration) mengikut peruntukan seksyen 4, Akta Akuan Berkanun 1960 [Akta 783].
“Pada hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said telah menandatangani Perintah (Bayaran) Surat Akuan (Pindaan) 2023, di mana kedua-dua kadar tersebut (fi akuan berkanun dan ekshibit) telah disemak semula kepada RM10 berkuat kuasa pada 16 Januari 2023,” katanya.
Tambah kenyataan itu, kali terakhir fi akuan berkanun ditetapkan adalah pada 4 Mac 1993 iaitu hampir 30 tahun dahulu, melalui warta P.U.(A) 78/93.
Fi yang ditetapkan ketika itu adalah sebanyak RM4 bagi akuan berkanun dan RM2 bagi ekshibit dalam akuan berkanun tersebut.
Sementara itu, Datuk Seri Azalina berkata, kerajaan menyemak semula kadar tersebut selepas mengambil kira aspek perkembangan ekonomi, kadar inflasi, kenaikan kos operasi, kenaikan fi pelantikan Pesuruhjaya Sumpah serta perbandingan dengan kadar di negara-negara lain.
Mengulas lanjut, kenyataan berkenaan memaklumkan, kerajaan merakamkan penghargaan ke atas usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh PESUMA dan berharap Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Sumpah akan meneruskan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.