Tumpuan :
Nasional

Kad Sejahtera Terengganu ditamatkan sementara kerana proses semak semula

Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penamatan sementara Kad Sejahtera bermula 29 Febuari lalu bagi membolehkan pihaknya melakukan pemutihan dan membolehkan permohonan baharu disemak semula.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menamatkan sementara Kad Sejahtera yang merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan untuk membantu golongan kurang berkemampuan mendapat rawatan di klinik swasta terpilih.

Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penamatan sementara Kad Sejahtera bermula 29 Febuari lalu.

Penamatan sementara kad sejahtera itu bagi membolehkan pihaknya melakukan pemutihan dan membolehkan permohonan baharu disemak semula.

“Antara tujuan penamatan kad sejahtera adalah untuk buat pemutihan, pertukaran pihak pengurusan, dan apabila kerajaan sudah bersedia kerajaan akan maklum semula”, katanya.

Jelasnya, bagi Program Wad Kelas ke 3 percuma masih diteruskan seperti biasa.

Wan Sukairi Wan Abdullah berkata demikian di sidang media di Pejabat Daerah Marang.

Program Kad Sejahtera kepada rakyat berpendaptan rendah merupakan salah satu manifesto PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) yang dilaksanakan pada Oktober 2019.

Seramai 20,000 golongan sasar menerima bantuan perubatan bernilai RM500 setahun menerusi Kad Sejahtera membabitkan peruntukan RM10.9 juta setahun.

Antara syarat melayakkan untuk mendapatkan kad tersebut ialah golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar dengan setiap keluarga antara golongan sasar yang layak menerima bantuan itu dengan syarat penerima adalah rakyat Terengganu atau sudah bermastautin lebih 10 tahun di negeri ini.

Penerima yang layak dikenal pasti menerusi senarai eKasih dan kad berkenaan diagihkan kepada mereka melalui pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Golongan sasar perlu membawa kad itu setiap kali mahu mendapatkan rawatan di klinik swasta terpilih dengan penggunaan maksimum RM70 setiap kali mendapatkan rawatan.

Loading...
Terkini