comscore
Tumpuan :
Nasional

Kad akreditasi untuk pemandu bas sedang diperinci

Foto hiasan. – FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan sedang memperincikan beberapa peraturan berhubung cadangan pengeluaran kad akreditasi untuk pemandu bas.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya bersetuju dengan pengeluaran kad terbabit, namun beberapa perkara masih perlu diperhalusi.

“Perkara ini dibangkitkan kepada kami beberapa bulan lalu dan secara dasarnya, kami bersetuju untuk kad ini diperkenalkan, namun tertakluk kepada beberapa peraturan yang sedang diperincikan.

“Buat masa ini, (perincian) kad pemandu sedang dilaksanakan dan kita sedang memperincikan beberapa peraturan berkaitan pengeluaran kad ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali, berkata, pengeluaran kad akreditasi dapat membantu mengekang amalan buruk membabitkan pemandu bas yang tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, kad itu juga dapat memastikan pemandu bas bertanggungjawab terhadap kesalahan dilakukannya jika terdapat aduan dikemukakan ke atas pemandu berkenaan.

Menurut Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), buat masa ini, kad akreditasi itu hanya dikeluarkan kepada pemandu e-hailing dan teksi.

Mengenai operasi bersepadu Bas Pelancongan dan Ekspres yang sedang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Loke berkata, setakat ini, sebanyak 351 pemeriksaan sudah dijalankan.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, seramai enam pemandu bas ditahan kerana gagal ujian saringan air kencing dalam operasi bermula sejak Selasa lalu.

“Empat kes dikesan kerana tiada lesen memandu serta pelbagai kesalahan lain.

“Saya nak nyatakan bahawa penguatkuasaan ini bukan bermusim, bukan sebab kerana ada kemalangan berlaku baru kita buat, penguatkuasaan ini akan berterusan untuk semua jenis kenderaan, sama ada bas persiaran, bas ekspres, bas kilang dan juga lori,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini