Tumpuan :
Nasional

Kabinet setuju secara dasar tubuh jawatankuasa manfaat sumber laut Malaysia-Vietnam

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya. – FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kabinet secara dasar bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa bagi membolehkan Malaysia dan Vietnam meneroka serta berkongsi maklumat bagi memanfaatkan sumber laut di perairan kedua-dua negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu susulan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam yang mengadakan lawatan ke Malaysia, baru-baru ini.

“Secara prinsipnya, kita berhasrat untuk mencari model terbaik yang membolehkan kedua-dua negara berkongsi kepakaran mereka.

“Kita boleh bertukar pengalaman dan teknologi perikanan laut dalam serta bekerjasama dalam operasi bersama untuk memastikan manfaat dinikmati oleh kedua-dua pihak,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Jelasnya, jawatankuasa itu akan membabitkan KDN, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi berkaitan.

Menurut Saifuddin Nasution, konsep itu mengambil contoh perjanjian yang ditandatangani di antara Maghribi dan negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

“Melalui tandatangan (perjanjian) ini, Sepanyol yang juga merupakan negara anggota EU dapat mengusaha hasil laut di kawasan perairan laut milik Maghribi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini