KUALA LUMPUR: Kerajaan mengkaji keperluan mewujudkan akta baharu bagi menghukum pihak yang mempermainkan isu agama, raja dan kaum (3R), berdasarkan aspek sivil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata akta yang mungkin dinamakan Akta Negara Bangsa mirip Akta Keharmonian Kaum di Singapura.
Beliau berkata, cadangan mengenainya dibentangkan pada mesyuarat Kabinet semalam.
Tegasnya, akta seperti itu banyak diwujudkan di negara luar yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama dengan elemen keharmonian dijadikan garis panduan undang-undang.
Ketika ini, katanya, kesalahan membabitkan isu 3R disiasat mengikut Akta Hasutan 1848 yang lebih menjurus kepada elemen kesalahan jenayah.
“Jika ikut jenayah, prosedur pengukuran bukan mudah, ia membabitkan proses. Sebab itu saya sebut dalam Kabinet, mungkin kita perlu kaji dan bincang mengenai Akta Kenegaraan atau Akta Negara Bangsa ini.
“Ia belum konkrit, mungkin perlu kepada satu penyelesaian, bukan elemen jenayah dan masuk penjara, lebih kepada punitif yang dikenakan denda supaya kita tahu tanggungjawab kita.
“Saya hanya menawarkan pandangan dan Kabinet nampak positif, jadi saya perlu buat Kertas Kabinet mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Forum ‘Malaysia Di Ambang PRN 2023’ di Menara Dato’ Onn di sini, malam tadi.
Panel lain ialah Menteri Pendidikan yang juga Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek, manakala Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid bertindak sebagai moderator.
Azalina berkata, cadangan akta itu sesuai dengan perkembangan semasa yang mana isu 3R bukan hanya dinyatakan dalam bentuk percakapan atau perbuatan, tetapi juga melalui media sosial.
“Jika di media sosial, dia boleh menafikan dan macam mana kita nak buktikan. Kalau jenayah, dia kena buat dengan niat, kalau di media sosial, bagaimana?
“Dia boleh kata orang ambil telefon bimbit dan akaun dia sebab apabila diperiksa, AI (kecerdasan buatan) yang keluarkan tapi dia yang tekan butang. Sebab itu kita mesti tahu bahawa landskap perlu berubah,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, akta baharu itu boleh menjadi penyelesaian terhadap isu 3R yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini, sekali gus menjamin keperluan generasi akan datang.
Pada forum itu, Azalina berkata, keputusan Mahkamah Rayuan Perancis yang menolak penguatkuasaan sebahagian award diperoleh Kumpulan Sulu membuktikan kestabilan kerajaan MADANI.
“Kes Sulu itu, jika kerajaan tidak stabil, memang tidak boleh menang. Mereka ambil kesempatan. Mereka tidak bodoh.
“Mereka tahu jika Perdana Menteri bertukar, kadang-kadang peguam negara bertukar, mereka ambil kesempatan,” katanya.