Tumpuan :
Nasional

Kabinet bincang kekecohan dicetuskan rakyat Palestin Rabu ini

Tangkap layar kekecohan insiden di WTKL melibatkan warga Palestin – FOTO: Ihsan media sosial

SEPANG: Insiden rakyat Palestin mencetuskan kekecohan di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) Sabtu lalu, akan dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat juga dijangka membincangkan tindakan lanjut yang akan diambil kerajaan ekoran kejadian berkenaan.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu ini sudah pasti akan mendapat maklumat terkini daripada Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) dan dalam beberapa mesyuarat Jemaah Menteri yang lalu ada dibangkitkan aspek pemindahan ke premis baharu.

“Setakat ini belum dimaklumkan kepada Jemaah Menteri tapi saya pasti selepas mesyuarat hari Rabu (ini), akan ada sedikit perkembangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Peluncuran Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di sini, hari ini.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ini mengesahkan, insiden kekecohan membabitkan warga Palestin di WTKL berpunca daripada keinginan mereka untuk mempercepatkan proses kembali ke Palestin.

Dalam satu kenyataan, ATM memaklumkan bahawa kejadian jam 5 petang itu bagaimanapun dapat dikawal dengan baik tanpa membabitkan sebarang pergaduhan atau kecederaan dilaporkan.

Namun, berlaku kerosakan kecil pada perabot di WTKL dan insiden itu adalah kejadian kedua yang dilaporkan.

Kejadian serupa pernah berlaku pada Oktober tahun lalu.

Pada 16 Ogos, Malaysia membawa 127 rakyat Palestin, termasuk 41 individu yang cedera akibat serangan Israel di Gaza, ke negara ini untuk menerima rawatan perubatan.

Mereka yang cedera dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, manakala saudara-mara lain ditempatkan di WTKL.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini