Tumpuan :
Nasional

Kabinet bincang dasar baharu Trump, mungkin beri kesan ekonomi negara – Mohamad

Mohamad berucap pada majlis penyampaian sumbangan angpau sempena Tahun Baharu Cina di Senawang, hari ini. FOTO NSTP

SEREMBAN: Kabinet akan membincangkan secara terperinci perkembangan terkini berhubung dasar baharu Presiden Amerika Syarikat (AS) yang dipilih, Donald Trump (Trump 2.0) yang mungkin memberi kesan kepada ekonomi Malaysia.

Ia terutamanya berkaitan cadangan mereka untuk mengenakan tarif terhadap barangan import ke AS yang membabitkan beberapa negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perbincangan itu penting berikutan ketika ini, Malaysia adalah negara rakan dagang dengan AS yang besar iaitu sebagai pengeksport barangan elektrik dan elektronik ke negara berkenaan.

“Kerajaan sedang meneliti, Wisma Putra sedang meneliti dan kita melihat perkembangan terkini mengenainya (dasar baharu AS), kita akan melaporkan dan membawa perkara ini ke Kabinet untuk dibincangkan.

“Kemungkinan sedikit sebanyak, ia (dasar baharu AS) akan menjejaskan (ekonomi) negara kita, terutama dengan cadangan mereka untuk mengenakan tarif terhadap barangan import ke AS,” katanya selepas menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan warga emas peringkat Parlimen Rembau, di Senawang, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Trump mengulangi ancamannya untuk mengenakan tarif baharu terhadap Kesatuan Eropah (EU) dan China, sambil menegaskan pentadbirannya sedang membincangkan duti punitif sebanyak 10 peratus ke atas import dari China.

Laporan itu menyebut, langkah berkenaan menurut Trump, berpunca daripada penghantaran bahan fentanyl dari China ke AS melalui Mexico dan Kanada.

Trump membuat kenyataan itu kepada media di Rumah Putih, sehari selepas memulakan tugas sebagai presiden tanpa terus melaksanakan tarif dijanjikannya ketika kempen pilihan raya.

Sementara itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau ketika berucap berkata, setakat Oktober tahun lalu, kira-kira 30 juta pelancong antarabangsa berkunjung ke negara ini.

Beliau berkata, Wisma Putra akan terus berusaha memastikan imej negara ini terus terpelihara di mata masyarakat dunia.

“Masyarakat antarabangsa melihat Malaysia sebagai negara aman damai dan sejahtera, jadi walaupun kita berbilang kaum, kita perlu bersama-sama menjaga dan memulihara keharmonian negara ini.

“Kita ada perayaan pelbagai bangsa dan agama seperti hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha), Tahun Baharu Cina, Deepavali, Thaipusam serta Krismas, jadi perlu terus pastikan Malaysia kekal aman dan ekonomi baik demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini