Tumpuan :
Nasional

K9 bertugas di lokasi rusuhan bermula tahun depan

Hazani menyampaikan anugerah pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Asas Menunggang Kuda Pasukan Simpanan Persekutuan Siri/2 2023 di Markas FRU, Cheras, hari ini. Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Penugasan Unit Anjing Pengesan (K9) dalam Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di lokasi rusuhan, akan bermula tahun depan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, penggunaan khidmat anjing pengesan yang dikenali sebagai anjing rusuhan itu adalah inisiatif mempelbagaikan tugasan haiwan berkenaan.

“Ketika ini, kita ada 10 ekor (anjing pengesan) yang sudah diluluskan. Insya-Allah, kita akan memulakan penugasannya pada tahun depan.

“Logik penggunaan anjing ini ialah apabila ada orang terutama Muslim yang nampak (anjing pengesan), mereka akan berundur, dan kaedah ini sesuai dalam situasi rusuhan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Asas Menunggang Kuda Pasukan Simpanan Persekutuan Siri 2/2023 di Markas FRU di Cheras, di sini, hari ini.

Demonstrasi pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Asas Menunggang Kuda Pasukan Simpanan Persekutuan Siri 2/2023 di Markas FRU di Cheras, hari ini. Foto: NSTP

 

Pada majlis itu, seramai 30 peserta kursus selama tujuh minggu bermula 3 Julai lalu hingga hari ini berkenaan menerima lencana daripada Hazani sebagai tanda tamat program terbabit.

Dalam pada itu, Hazani berkata, beliau juga ada melontarkan idea untuk penubuhan pasukan khas anjing pengiring (escort dog) dalam penugasan mengiring.

“Dari segi kemahiran melatih anjing berkenaan, kita akan belajar daripada negara luar. Sebelum ini, ada situasi berlaku di Perancis di mana anjing terbabit membantu menyelamatkan tebusan,” katanya.

Bagi penugasan Unit Berkuda pula, beliau berkata, pihaknya mahu unit itu digunakan di lokasi tumpuan pelancong seperti di Melaka dan Bukit Bintang.

“Cuma kita perlu melihat semula pelaksanaan dari segi kebersihan dan lain-lain perkara berkaitan,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu lalu pula, beliau berkata, proses kempen dan pengundian berlangsung dengan lancar tanpa insiden tidak diingini.

“Kita berterima kasih kepada petugas (pegawai dan anggota polis) pada PRN kali ini yang mengharungi penugasan itu dengan baik.

“Kita juga berterima kasih kepada rakyat yang berdisiplin dan mematuhi undang-undang ditetapkan. Pilihan raya kali ini adalah antara PRN yang aman dan damai kerana rakyat lebih matang,” katanya.

Loading...
Terkini