Tumpuan :
Nasional

Justin perlu tampil beri kerjasama, tegas SPRM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan tidak mengeluarkan sebarang notis kepada Ketua Pegawai Eksekutif Sersol Bhd, Datuk Justin Lim Hwa Tat bagi membantu siasatan kes suruhanjaya ini sebagaimana dakwaannya baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SPRM hari ini, suruhanjaya itu telah berusaha mengesan Justin dalam hal berkaitan.

Usaha SPRM pergi ke dua buah kediaman Justin di Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu untuk menyerahkan notis berkenaan tidak berhasil, apabila mendapati salah sebuah premis tersebut telah dijual manakala satu lagi tidak dihuni olehnya.

Pada tarikh sama, cubaan bertemu di pejabatnya di ibu negara dan Johor juga gagal kerana beliau tiada di lokasi tersebut.

Hasil semakan suruhanjaya itu dengan Jabatan Imigresen Malaysia, didapati Justin telah meninggalkan negara ini pada Februari lalu dan tiada rekod masuk kembali ke negara ini.

Sehubungan itu, SPRM telah mengeluarkan kenyataan media pada 12 Julai 2023 yang lengkap dengan nombor telefon serta emel pegawai penyiasat bagi mengesan Justin dan kenyataan itu merupakan notis yang rasmi dan sah.

Menurut kenyataan itu, SPRM bersedia untuk menerima sebarang tindakan undang-undang daripada Justin, namun menegaskan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Sersol Bhd itu perlu terlebih dahulu tampil memberi kerjasama dengan mereka berkaitan siasatan kes berkenaan.

Loading...
Terkini