Tumpuan :
Nasional

Juruterbang rugi lebih RM1 juta ditipu pelaburan tidak wujud

Foto hiasan

KAJANG: Seorang juruterbang kerugian lebih RM1 juta selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor menerima laporan polis berkaitan tipu pelaburan tidak wujud membabitkan kerugian RM1,366,885 yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, pengadu adalah juruterbang berusia 50 tahun tertarik dengan satu iklan pelaburan yang diiklankan melalui Instagram.
“Pengadu tidak dijanjikan pulangan secara spesifik dan hanya diberitahu untuk melabur sebanyak yang boleh bagi mendapatkan pelbagai faedah dan pulangan yang lebih tinggi.

“Pengadu diberikan satu pautan untuk ke laman sesawang aplikasi oleh suspek dan pengadu diajar cara menggunakan aplikasi itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein berkata, mangsa melakukan transaksi kemasukan wang dari bulan Oktober 2024 sehingga Disember 2024 berjumlah RM1,366,885 melalui 34 kali transaksi ke dalam 10 akaun bank berlainan yang diberikan oleh suspek.

“Mangsa hanya mendapat pulangan sekali sahaja iaitu sebanyak RM4,300 dari keseluruhan jumlah wang yang dilaburkan.

“Dia dimaklumkan oleh suspek untuk melakukan pengeluaran dari aplikasi di mana pengadu hanya perlu menekan icon “withdrawal” dan memasukkan amaun yang mahu dikeluarkan dan wang itu akan dimasukkan ke dalam akaun pengadu dalam masa 24 jam.

“Namun selepas pengadu menekan icon ‘withdrawal’ tiada sebarang kemasukan wang ke dalam akaunnya dan berasa tertipu sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini