IPOH: Seorang juruteknik berusia 42 tahun mengalami kerugian sebanyak RM444,967 selepas terpedaya dengan penipuan pekerjaan dalam talian pada November lalu.
Pemangku Ketua Polis Perak, DCP Zulkafli Sariaat, memaklumkan bahawa mangsa yang berada di rumah pada 21 November telah melayari Facebook dan tertarik dengan iklan tawaran pekerjaan.
Katanya. mangsa berhubung dengan seorang suspek melalui aplikasi WhatsApp, dan diminta untuk membuat bayaran terlebih dahulu untuk membeli barang yang diberikan dengan janji bayaran balik bersama komisen antara 4 hingga 10 peratus.
Mangsa, yang percaya dengan tawaran tersebut, telah membuat beberapa transaksi pindahan wang berjumlah RM444,967 ke 10 akaun bank yang berbeza.
Namun, dia menyedari dirinya ditipu apabila tidak menerima komisen seperti yang dijanjikan. Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ipoh pada Jumaat lalu.
Polis turut mengingatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati terhadap penipuan dalam talian yang semakin canggih dan mengelakkan diri daripada terpedaya dengan tawaran pekerjaan yang melibatkan bayaran pendahuluan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.