comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Juruteknik maut selepas terjatuh ketika selenggara SkyWalk Langkawi 


Oleh: Selwam Arjunan

LANGKAWI: Seorang kakitangan Eagle’s Nest SkyWalk di Gunung Mat Chincang, di sini, maut selepas terjatuh ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan, tengah hari tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa, Khairul Nizam Jaffar, 41, yang bertugas sebagai juruteknik penyelenggaraan di tempat tarikan pelancong itu ditemukan maut jam 5.11 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata pihaknya telah terima makluman pada jam 12.25 tengahari daripada penyelia operasi dek kaca di Gunung Mat Chincang bahawa terdapat seorang kakitangan lelaki dipercayai terjatuh di lereng gunung dan tidak sedarkan diri.

“Pihak polis dan bomba telah bergegas ke lokasi dan memulakan operasi menyelamat. Turut sama ke lokasi adalah pasukan dari Angkatan Pertahanan Awam. Cuaca sedikit hujan semasa operasi dijalankan.

“Mangsa dipercayai terjatuh dari ketinggian lebih kurang 40 meter ke tebing gunung, dari besi penahan dek kaca yang berada di bawah dek kaca.

“Mangsa telah berjaya dibawa naik ke stesen tengah oleh pihak bomba pada jam 5.11pm.

“Pemeriksaan serta pengesahan kematian dibuat oleh pihak hospital dan kemudian dibawa turun menggunakan kereta kabel sebelum dihantar ke unit forensik Hospital Sultanah Maliha untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, waris dan keluarga mangsa juga telah dimaklumkan.

Mangsa difahamkan baharu tiga bulan bekerja di tempat berkenaan.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Eagle’s Nest SkyWalk merupakan tarikan terbaharu di puncak Gunung Mat Chincang yang beroperasi bersebelahan dengan perkhidmatan kereta kabel Langkawi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini