Tumpuan :
Nasional

Jururawat wanita cedera dipukul lelaki tidak siuman

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jururawat wanita menerima empat jahitan di kepala selepas dipukul lelaki kurang siuman ketika berjalan kaki ke hentian bas berhadapan sebuah hotel di Jalan Pahang, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner, Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, polis menerima laporan jam 10.38 malam daripada jururawat Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyatakan pada jam 5.10 petang, ketika berjalan kaki, beliau dicederakan dengan cara dipukul di belakang kepala menggunakan suatu objek keras oleh seorang lelaki.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan dan menerima empat jahitan di kepala akibat kejadian itu selepas mendapatkan rawatan lanjut di HKL.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan polis menahan suspek pada 10.11 malam Sabtu lalu di sekitar lokasi kejadian mangsa dicederakan.

“Pemeriksaan badan dilakukan dan berjaya merampas sebilah pisau pemotong kertas dalam milikannya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati suspek adalah seorang lelaki kurang siuman serta tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya dan gagal mengemukakan butiran dirinya secara lisan.

“Suspek kemudiannya dihantar ke HKL dan ditahan di wad psikiatri untuk pemantauan selanjutnya.

“Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis jika terdapat pergerakan mencurigakan yang berkemungkinan mengancam keselamatan diri,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini