comscore
Tumpuan :
Nasional

Jururawat ditemui tertiarap tidak sedarkan diri tepi jalan

Seorang jururawat wanita lengkap beruniform ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi Jalan Simpang Tiga Dangi, dekat Johol, malam tadi. – Foto ihsan pembaca

KUALA PILAH: Seorang jururawat wanita lengkap beruniform ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi Jalan Simpang Tiga Dangi, dekat Johol, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang berusia 30-an ditemui tertiarap dan kasut tertanggal di luar keretanya dengan enjin masih hidup.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab, berkata berdasarkan laporan awal, mangsa mengalami luka pada kepala akibat dipukul.

“Pihak kami menerima laporan kira-kira jam 11 malam yang memaklumkan orang awam menemui seorang jururawat wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai dirompak.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk diberikan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di HTAN menuju ke arah Dangi, sebelum kejadian berlaku di lokasi.

“Buat masa ini mangsa masih dirawat dan kami masih mendapatkan keterangan lanjut daripadanya mengenai kejadian sebenar.

“Berdasarkan keterangan awal, mangsa memaklumkan tidak dirompak sebaliknya hanya dipukul di bahagian kepala. Malah siasatan di lokasi juga mendapati tiada barang peribadi mangsa yang hilang,” katanya.

Syahrul Anuar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini