Oleh : Fazli Ahmad
KUANTAN: Jurulatih basikal Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu, Muhammad Muslim Marzuki, maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan lori di Kilometer 52 Jalan Kuantan – Maran dekat Kampung Paya Bungor dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Maran.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku kerana motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan dan terbabas ke laluan kanan serta bertembung dengan lori dari arah bertentangan.
Katanya, akibat kemalangan itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu lori berusia 43 tahun terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kegagalan penunggang motosikal terbabit mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk dibedah siasat.
Kemalangan itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.