
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengesahkan berlakunya pencemaran di sebuah tangki air kolej kediamannya di sini, yang membekalkan sumber air telaga tiub.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pengurusan UMS memaklumkan pencemaran berkenaan dikesan selepas siasatan berhubung satu video tular penemuan ulat dalam tangki air yang didakwa berlaku di kampusnya, di sini.
“Pihak UMS mengambil maklum akan sebuah klip video yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini berkaitan pencemaran tangki air di salah satu kolej kediaman pelajar di kampus UMS.
“Susulan daripada klip video tersebut, pihak pengurusan UMS melalui Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) telah menjalankan siasatan terhadap kesahihan dakwaan seperti yang dinyatakan dalam video tersebut.
“Pihak JPP mengesahkan bahawa kejadian tersebut berlaku terhadap salah satu tangki air di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae (KKTPAR) UMS,” katanya.

Bagaimanapun, katanya tangki yang terjejas itu adalah tangki dari sumber air melalui sistem telaga tiub dan tidak menjejaskan sumber air yang disalurkan dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang menjadi sumber utama kegunaan harian pelajar.
Berikutan kejadian itu, katanya JPP UMs mengarahkan kontraktor penyelenggaraan untuk mengosongkan tangki yang terbabit.
“Pihak JPP juga telah mengarahkan kontraktor penyelenggaraan agar sentiasa memantau setiap fasiliti bangunan di UMS bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan dan kesihatan khususnya kepada warga pelajar UMS.
“Pihak pengurusan UMS akan terus memantau perkembangan pelajar di KKTPAR bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas dan tidak mengganggu pembelajaran serta kehidupan seharian pelajar sepanjang berada di kolej kediaman,” katanya.
Klip video terbabit yang disebarkan melalui TikTok menunjukkan keadaan tangki air yang dipenuhi ulat hingga menimbulkan rasa jijik terhadap sesiapa yang melihatnya.