comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jumpa najis tikus, restoran popular kena tutup 14 hari 

Foto: NSTP

MUAR: Penemuan najis tikus menyebabkan sebuah restoran popular di Jalan Sungai Abong di sini hari ini diarah tutup selama 14 hari.

Tindakan itu hasil Ops Bersepadu Premis Makanan Bersih yang dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) 9 pagi tadi.

Najis tikus itu didapati sudah kering ditemui di tempat menyimpan bahan mentah restoran terbabit.

Selain najis, pemilik restoran terbabit juga didapati mengabaikan kebersihan dengan dapur memasak kelihatan tidak dijaga selain mozek didapati pecah.

Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muar, Dr Nur Fatimah Aliah Zulkifli, berkata dalam operasi itu juga pihaknya turut mengeluarkan kompaun terhadap perokok yang juga pemilik premis.

Beliau berkata, operasi tertumpu di beberapa lokasi antaranya Jalan Temenggong Ahmad, Jalan Sungai Abong, sekitar bandar Muar serta Jalan Abdul Rahman.

“Sehingga jam 1 petang ini, sebanyak 75 premis diperiksa dengan 11 daripadanya tidak beroperasi manakala satu diarahkan turut serta-merta.

“Sebanyak 53 notis mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dikeluarkan manakala lima notis mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Empat perokok serta pemilik premis dikenakan kompuan dengan nilai keseluruhan kompaun dikeluarkan ialah RM13,800,” katanya ketika ditemui ketika operasi.

Turut serta dalam operasi itu ialah Pegawai Kesihatan Persekitaran, Unit Inspektorat dan Perundangan, PKD Muar, Anuar Nordin.

Operasi ini dijalankan melibatkan semua PKD di negeri ini untuk memastikan makanan disediakan adalah berkualiti, bersih dan selamat dimakan selain mengelak orang awam merokok di kawasan larangan.

Dr Nur Fatimah Aliah berkata, operasi itu juga mendapati masih ada pengendali makanan mengabaikan peraturan termasuk memakai aksesori di jari, tidak menggunakan apron, memakai selipar dan sebagainya.

Loading...
Terkini