comscore
Tumpuan :
Nasional

Jumpa mayat buruh atas motosikal

GUA MUSANG : Seorang buruh ditemui meninggal dunia di atas motosikal di sebuah bengkel di Kawasan Industri, di sini, semalam.

Mayat Chow Sai Seng, 64, ditemukan oleh pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang ingin memeriksa meter elektrik di bengkel terbabit.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Sik Choon Foo berkata, kira-kira jam 10.25 pagi pihaknya menerima makluman mengenai seorang lelaki yang masih berada di atas motosikal dan disyaki sudah meninggal dunia.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit sudah bekerja di bengkel itu sejak tahun 2011 dan tinggal sendirian di bengkel terbabit.

“Pintu pagar terpaksa dibuka dengan pemotong besi kerana berkunci dari dalam selain terdapat kesan darah kering pada paha dan tangan si mati dipercayai akibat luka kemalangan sebelum ditemui meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan di tempat kejadian dan keterangan dari saksi mendapati tiada unsur jenayah berlaku.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan punca kematian adalah disebabkan “Coronary Artery Thrombosis” atau saluran darah tersumbat,” katanya.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Loading...
Terkini