KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus menunjukkan penurunan kepada 67,374 setakat jam 9 malam ini, berbanding 94,636 orang pada pagi tadi.
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir di enam jajahan di negeri itu terus mencatat penurunan kepada 43,620 orang di 97 PPS membabitkan 13,941 keluarga, berbanding 57,790 orang pagi tadi.
Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 22,241 orang diikuti Tumpat (20,556), Kota Bharu (403), Bachok (318), Pasir Puteh (47), dan Tanah Merah (55).
Situasi banjir di Terengganu juga semakin baik apabila jumlah mangsa di tujuh daerah menurun kepada 15,546 orang di 65 PPS berbanding 25,097 orang pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan daerah Kuala Nerus mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 5,759 orang, Dungun (5,628), Kuala Terengganu (3,109), Hulu Terengganu (499), Marang (186), Setiu (169), Kemaman (2).
Di Pahang, banjir yang melanda Raub, Lipis dan Jerantut pulih selepas semua PPS di daerah berkenaan ditutup bermula jam 12 tengah hari hingga 2 petang.
Bagaimanapun, menurut rekod aplikasi InfoBencana JKM, satu PPS di Temerloh iaitu Surau Kampung Lompat baharu dibuka petang ini bagi menempatkan dua sekeluarga selepas kediaman mereka dilanda banjir.
Sementara itu, di Kedah, jumlah mangsa banjir menurun kepada 6,472 orang daripada 2,058 keluarga setakat 9 malam ini berbanding 7,206 orang daripada 2,185 keluarga pagi tadi dan kesemua mangsa di empat daerah itu ditempatkan di 32 PPS.
Timbalan Pengarah APM Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain dalam kenyataan memaklumkan Kota Setar masih mencatatkan jumlah tertinggi seramai 4,178 orang diikuti Kubang Pasu (1,646), Pokok Sena (493) dan Padang Terap (155).
Jumlah mangsa banjir di Johor pula sedikit meningkat kepada 1,083 orang daripada 308 keluarga setakat 9 malam ini berbanding 1,056 orang pagi tadi.
Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir sedikit berkurangan kepada 438 orang daripada 140 keluarga di 10 PPS berbanding 618 mangsa pagi tadi.
Menurut sekretariat itu, seramai 207 mangsa berada di daerah Kinta, 15 mangsa di daerah Larut, Matang dan Selama, 76 orang di Hilir Perak, Kampar (74) dan Perak Tengah (70).
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan di kesemua daerah di Perak pada malam ini.
Mangsa banjir di Melaka pula sedikit meningkat kepada 172 mangsa daripada 44 keluarga berbanding 161 mangsa daripada 42 keluarga pada 8 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di dua PPS iaitu SK Parit Penghulu yang dihuni 106 mangsa daripada 26 keluarga manakala 66 mangsa daripada 18 keluarga ditempatkan di PPS SK Seri Mendapat.
Di Perlis, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud memaklumkan banjir di negeri itu pulih sepenuhnya apabila PPS terakhir di Sekolah Kebangsaan (SK) Arau yang menempatkan 43 mangsa ditutup pada jam 2.30 petang tadi.
Sementara itu, menurut polis, sembilan nyawa terkorban akibat bencana musim tengkujuh setakat ini dengan lima daripadanya di Kelantan dan empat lagi di Terengganu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.