JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus menunjukkan penurunan dengan 1,029 orang membabitkan 292 keluarga sehingga jam 4 petang ini, berbanding 1,062 orang daripada 304 keluarga pada jam 12 tengah hari tadi.
Jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) juga berkurangan apabila dua PPS di Segamat ditutup.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata kini tinggal 18 PPS yang masih dibuka masing-masing 16 di Segamat dan dua di Tangkak.
“Jumlah mangsa banjir di Segamat berkurangan daripada 892 orang (256 keluarga) pada tengah hari tadi, kepada 858 orang (244 keluarga).
“Di Tangkak pula, terdapat penambahan seorang mangsa menjadikan 171 orang daripada 48 keluarga masih ditempatkan di PPS,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengesahkan tiada kematian direkodkan.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir atau hujan berterusan untuk mana-mana daerah di negeri ini.
Semua daerah dilaporkan cerah setakat jam 4 petang tadi, kecuali mendung di Pontian, Segamat dan Tangkak.
Pada masa sama, Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam, Segamat merekodkan paras air sungai yang sudah melebihi paras bahaya 4.0 meter (m) dengan bacaan 4.8m.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.