Tumpuan :
Bencana

Jumlah mangsa banjir di Rompin berkurangan

Keadaan banjir di sekitar Kampung Pianggu, minggu lalu. – FOTO: NSTP

KUANTAN: Hanya 172 mangsa banjir daripada 61 keluarga masih berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Rompin setakat jam 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang memaklumkan, jumlah itu menunjukkan penurunan ketara berbanding 518 mangsa daripada 166 keluarga masih berada di tiga PPS, petang semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 110 mangsa daripada 37 keluarga berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Leban Chondong dan SK Kampung Aur pula menempatkan 62 mangsa daripada 24 keluarga.

Keadaan cuaca yang cerah turut membantu banjir pulih di beberapa kawasan di Rompin sejak kelmarin.

Sementara itu, berdasarkan maklumat dalam laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula, Sungai Keratong di Jambatan Bahau, Keratong, Rompin merekodkan bacaan paras air melepasi tahap amaran, pada jam 8 pagi.

Rekod menunjukkan paras air Sungai Keratong mencatat bacaan 22.82 meter (m) iaitu melepasi 22m yang ditetapkan.

Loading...
Terkini