comscore
Tumpuan :
Nasional

Jumlah mangsa banjir di Perlis meningkat, Johor dan Perak menurun

Tinjauan air melimpah di jalan raya di Persiaran Jubli Emas, Jejawi disebabkan banyak saluran longkang dan parit yang tersumbat, semalam. – Foto: NSTP

PERLIS: Jumlah mangsa banjir di negeri ini dilaporkan meningkat kepada 773 orang daripada 245 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 696 mangsa daripada 208 keluarga pada sebelah malam tadi.

Pengarah APM Perlis, Leftenan Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, semua mangsa kini berada di enam pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sena, SK Bintong dan Kolej Vokasional Kangar di Kangar serta SK Kubang Gajah, SK Guar Nangka dan SK Arau di Arau.

“Antara kampung terjejas banjir ini ialah Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau, Kampung Belanga Pudak, Kampung Repoh di Kangar manakala Kampung Kubang Gajah, Kampung Gial, Kampung Banggol Sena, Kampung Banat dan Kampung Behor Gelam di Arau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, di JOHOR, jumlah mangsa menurun kepada 111 orang daripada 30 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 150 mangsa daripada 42 keluarga pada malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, semua mangsa masih ditempatkan di empat PPS di tiga daerah terjejas akibat bencana itu.

“Dua PPS yang masih dibuka di Pontian adalah SK Seri Anom dan SK Parit Markom manakala masing-masing satu di SK Sungai Linau, Kluang serta SK Seri Bunut di Batu Pahat,” katanya dalam kenyataan dan turut memaklumkan Sungai Sembrong di Parit Batu 2 Sembrong, Batu Pahat berada pada paras amaran.

Di PERAK pula, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi ini menurun sedikit kepada 136 orang daripada 40 keluarga berbanding 137 orang daripada 40 keluarga di dua PPS di daerah Kerian, malam tadi.

“Seramai 71 orang daripada 20 keluarga berlindung di PPS SK Changkat Lobak, manakala di PPS SK Parit Haji Aman, Bagan Serai menempatkan 65 orang daripada 20 keluarga,” menurut sekretariat itu. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini