Tumpuan :
Nasional

Jumlah mangsa banjir di Perak terus meningkat, Hilir Perak daerah terbaharu terjejas

APM menjalankan kerja pemantauan banjir di daerah Kerian

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Jumlah mangsa banjir di negeri Perak yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus meningkat, dengan pertambahan kawasan yang terjejas akibat peningkatan paras air.

Kemaskini dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri Perak memaklumkan sebuah PPS dibuka di daerah Hilir Perak pagi tadi bagi menempatkan 38 mangsa daripada 14 keluarga.

Kesemua mangsa yang terjejas adalah dari Kampung Batu Lapan, Kampung Batu Tujuh dan Jalan Woo Saik Hong dekat Teluk Intan, ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak.

PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak dibuka malam tadi bagi menempatkan mangsa banjir di daerah Hilir Perak

Ini menjadikan jumlah PPS yang dibuka di negeri itu, meningkat kepada 10 buah melibatkan lima buah daerah bagi menempatkan sejumlah 1644 mangsa daripada 520 buah keluarga.

Kuala Kangsar menjadi daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS berjumlah 720 orang, diikuti Muallim (558 orang), Hulu Perak (224 orang), Kerian (104) dan Hilir Perak.

Dalam pada itu data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan tiga batang sungai di negeri Perak mencapai paras berjaga-jaga dan bahaya iaitu Sungai Perak di Kuala Kenderong, Sungai Kinta di Tanjung Tualang dan Sungai Perak di Kampung Gajah.

Jabatan Meteorologi Malaysia pula menjangkakan seluruh negeri itu akan berhadapan hujan menjelang petang ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini