comscore
Tumpuan :
Nasional

Jumlah mangsa banjir di Perak dan Kedah meningkat, Pahang berkurangan

Foto fail

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Perak dan Kedah meningkat sedikit manakala di Pahang berkurangan dengan keseluruhannya 3,948 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri setakat 8 malam ini.

Di Perak, laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan jumlah mangsa yang berlindung di 11 PPS meningkat kepada 1,191 orang malam ini berbanding 1,170 petang tadi.

Menurut laman sesawang rasmi Public Info Banjir, paras air Sungai Bidor di Hilir Perak melepasi tahap bahaya manakala Sungai Kampar serta Sungai Rui melebihi tahap amaran dan Sungai Perak di Perak Tengah pula melepasi tahap waspada.

Di Kedah, jumlah mangsa yang ditempatkan di lapan PPS meningkat kepada 1,000 orang daripada 289 keluarga dari tiga daerah iaitu Pendang, Kota Setar dan Baling.

Laman sesawang rasmi Public Info Banjir memaklumkan paras air Sungai Anak Bukit di Kota Setar melepasi tahap bahaya manakala Sungai Padang Terap di Kubang Pasu melebihi tahap amaran.

Sementara itu, di Pahang, jumlah mangsa banjir di Temerloh berkurangan kepada 1,643 orang daripada 497 keluarga.

Di Melaka, mangsa banjir di Jasin yang berlindung di SK Seri Mendapat kekal 31 orang berbanding 187 pagi tadi dengan dua PPS ditutup.

Johor pula mencatatkan 17 orang mangsa banjir di daerah Batu Pahat dan berlindung di PPS SK Seri Bunut sejak petang tadi.

Manakala di Selangor, jumlah mangsa turut kekal 66 orang dari daerah Hulu Selangor dan Hulu Langat yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Alah Batu dan SK Sungai Serai.

Paras air Sungai Bernam di daerah Hulu Selangor dilaporkan melepasi tahap bahaya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini