comscore
Tumpuan :
Nasional

Jumlah mangsa banjir di Kedah naik kepada 3655 mangsa

Operasi memindahkan mangsa banjir semalam dilakukan oleh pasukan BBP Pokok Sena. – FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Setakat jam 8 pagi hari ini, jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 3655 mangsa daripada 1,163 keluarga yang ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah di negeri ini.

Jumlah itu meningkat berbanding 3,496 mangsa daripada 1,126 keluarga yang dilaporkan pada jam 8 malam tadi dan satu lagi PPS dibuka di daerah Pokok Sena, semalam.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, daerah Kota Setar mencatatkan peningkatan mangsa yang dipindahkan ke sembilan PPS iaitu seramai 1,697 mangsa daripada 517 keluarga.

Beliau berkata, daerah Kubang Pasu pula mencatatkan seramai 870 mangsa daripada 307 keluarga di lapan PPS manakala Pokok Sena pula seramai 574 daripada 200 keluarga dan Pendang pula seramai 514 mangsa daripada 139 keluarga.

“PPS baharu yang dibuka di Pokok Sena pada jam 6.30 petang semalam adalah di Surau Desa KEDA yang menempatkan seramai 55 mangsa daripada 14 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, laman Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, empat sungai di dua daerah di negeri ini terus menunjukkan bacaan melepasi paras bahaya setakat jam 8 pagi hari ini.

Kesemua sungai terbabit adalah dua di Kota Setar iaitu di Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman manakala di daerah Kubang Pasu pula membabitkan Sungai Padang Terap di Kepala Batas serta Sungai Bata di Kampung Bata.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini