comscore
Tumpuan :
Nasional

Jumlah mangsa banjir di Johor terus susut

Sukarelawan Southern Volunteer membersihkan bilik darjah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gading, Batu Pahat baru-baru ini. – Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa yang terjejas ekoran bencana banjir di Johor terus susut setakat jam 8 pagi ini, berbanding malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir pada malam tadi ialah 19,041 mangsa (5,424 keluarga) berkurang kepada 7,125 orang (4,907 keluarga) setakat pagi ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor memaklumkan, semua mangsa itu kini ditempatkan di 70 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi.

“Sehingga kini, masih terdapat dua daerah yang terjejas akibat banjir iaitu Batu Pahat dan Segamat.

“Mangsa banjir di Batu Pahat kini seramai 17,123 orang (4,906 keluarga) di 69 PPS, manakala Segamat kekal dengan kepada dua orang mangsa banjir (satu keluarga) di satu PPS,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula tidak mengeluarkan sebarang amaran hujan lebat, mahu pun ribut petir pagi ini.

Berdasarkan laporan cuaca sebenar pula menunjukkan semua daerah dilaporkan cerah kecuali Kota Tinggi yang hujan pagi ini.

Pada masa sama, terdapat lima jalan di Batu Pahat yang masih ditutup akibat banjir, namun dibuka untuk kenderaan berat saja.

Jalan yang masih terjejas akibat banjir adalah Jambatan Sri Dayung di Jalan Parit Haji Arif atau Sri Dayung; Jambatan Parit Jambi di Jalan Parit Jambi; Klinik Kesihatan Sri Medan di Jalan Haji Arif; sepanjang Jalan Parit Warijo dan Kampung Sri Bengkal, Jalan Sri Bengkal. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini