comscore
Tumpuan :
Nasional

Jumlah mangsa banjir di Batu Pahat turun lebih 3,000 orang

Antara kawasan masih ditenggelami banjir di Batu Pahat, semalam. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Banjir di Batu Pahat menunjukkan tanda-tanda semakin pulih apabila jumlah mangsa turun kepada 10,396 orang daripada 2,977 keluarga, setakat jam 8 pagi ini, berbanding 13,872 orang (3,985 keluarga) malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) juga tidak mengeluarkan sebarang amaran hujan lebat dan semua daerah negeri ini dilaporkan cerah.

Beliau turut memaklumkan, kesemua mangsa banjir ditempatkan di 51 pusat pemindahan sementara (PPS).

“Lapan PPS sudah ditutup dalam tempoh itu, termasuk di Sekolah Agama (SA) Seri Bulan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, Masjid Jamek Simpang Tiga Parit Sulong, dan Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) Parit Yaani,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Namun begitu, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air tiga lembangan sungai di Batu Pahat masih berada pada tahap amaran.

“Lembangan sungai terbabit ialah Empangan Bekok yang juga sublembangan Sungai Bekok dengan bacaan 19.20 meter (m), Empangan Sembrong (Sungai Sembrong) 12m dan Sungai Senggarang di Senggarang mencatat 3.50m.

“Pada masa sama, lima jalan di Batu Pahat masih ditutup untuk laluan kecuali kenderaan berat saja, akibat banjir.

“Ia membabitkan Jambatan Sri Dayung di Jalan Parit Haji Arif atau Sri Dayung; Jambatan Parit Jambi di Jalan Parit Jambi; Klinik Kesihatan Sri Medan di Jalan Haji Arif; sepanjang Jalan Parit Warijo dan Kampung Sri Bengkal, Jalan Sri Bengkal,” katanya.

Loading...
Terkini